Chong Yee Fatt yang mengalami kekecewaan pada musim lalu setelah gagal membantu Perak kekal di Liga Super kini memulakan langkah baharu apabila bergelar selaku penolong jurulatih bersama Penang.
Bekas pengendali Perak itu jelas mahu meningkatkan ilmu kejurulatihan beliau apabila mahu berguru bersama ketua pengendali Penang, Tomas Trucha selain jelas menyatakan mahu membuka buku baharu bersama kelab berkenaan bagi musim ini.
“Musim ini saya hanya mendapat tawaran daripada pasukan Penang FC dan tanpa ragu-ragu saya terima lamaran itu bagi mengembangkan lagi karier sebagai jurulatih. Bagi saya tiada masalah untuk berkerjasama dengan Trucha.
“Malah saya berbesar hati kerana skuad itu masih mahu menggunakan khidmat saya walaupun ianya satu tugas baharu. Saya lihat saingan liga musim ini semakin mencabar dengan banyak pasukan sudah membuat persiapan rapi.
“Jadi sudah tentu banyak pasukan yang bagus akan muncul dalam saingan ini nanti. Bagaimanapun saya tekad untuk membantu Trucha meraih sekurang-kurangnya satu gelaran musim ini biarpun ianya satu tugas yang begitu mencabar,” katanya ketika ditemui Berita Harian, baru-baru ini.
Dalam masa sama, beliau sendiri buat ketika ini dalam barisan kejurulatihan untuk membentuk barisan pemain baharu Penang kali ini terutama dari segi keserasian kerana rata-rata para pemain skuad tersebut merupakan muka baru dan memerlukan sedikit masa memahami antara satu sama lain.
“Tapi apa yang istimewa yang saya nampak dalam pasukan, mereka ada semangat juang yang tinggi dalam diri selain beraksi sebagai satu pasukan. Inilah antara kekuatan yang boleh dibanggakan,” kata Yee Fatt.
Penang pada musim lalu berjaya mengejutkan ramai pemerhati bola sepak tempatan apabila berjaya meraih kedudukan ketiga terbaik dalam saingan Liga Super walaupun baru kali pertama dinaikkan dari Liga Premier.
Namun impian skuad kendalia Trucha ini untuk beraksi di saingan AFC berkecai apabila KL City mengejutkan JDT dalam aksi final Piala Malaysia musim lalu.
Pada musim ini, Penang telah melakukan rombakan yang agak besar dimana mereka telah kehilangan ramai tonggak musim lalu dan digantikan oleh para pemain baharu untuk membawa cabaran Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal bermula tidak lama lagi.
Penang juga telah menandatangani dua pemain import baharu bagi memberi impak yang positi dalam pasukan iaitu Hilal El-Helwe dan Christian Rontini.
Mereka juga telah mengekalkan tiga tonggak musim lalu iaitu, Rafael Vitor, Endrik Dos Santos, dan penyerang berbisa mereka, Cassagrande.
Untuk barisan pemain tempatan baharu, beberapa nama seperti Azzizan Nordin, Hamran Peter, Faizat Ghazli, Faiz Subri, dan Hafizul Hakim antara yang bakal memperkuatkan setiap posisi pasukan.