‘Saya Tak Mampu Jadi Seperti Dulu Lagi’ – Apa Punca Kejatuhan Mario Gotze?

Mario Gotze

Mario Gotze telah sah bakal meninggalkan Borussia Dortmund buat kali kedua pada penghujung musim ini selepas pihak kelab mengumumkan perkara tersebut pada Sabtu.

Daripada seorang prospek yang diramal bakal menjadi salah seorang pemain terbaik dunia dan dicanang sebagai ‘Messi Jerman’, siapa sangka penjaring gol kemenangan perlawanan akhir Piala Dunia 2014 itu kini hanyalah sekadar ‘barang buangan’.

Gotze menyertai Borussia Dortmund seawak usianya sembilan tahun. Pada usia 17 tahun, beliau telah berjaya menarik perhatian Jurgen Klopp yang berjaya mengesan dan mengasah bakatnya pada tahun-tahun awal karier profesionalnya di Signal Iduna Park.

Musim pertamanya pada 2010, beliau membantu Dortmund menjuarai Bundesliga. Musim seterusnya pada 2011, sekali lagi kejuaraan Bundesliga menjadi miliknya dan turut menjulang Piala DFB-Pokal.

 

Nama Gotze menjadi tumpuan di seluruh dunia sehinggakan legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho meramalkan masa depan yang cerah buat pemain remaja tersebut.

“Dia adalah bintang dunia dalam pembikinan. gaya dia mengawal bola, pergerakannya di atas padang dan caranya menghantar bola, amat menakjubkan!” ujar Ronaldinho.

Berpaling tadah

Gandingan mantapnya dengan Marco Reus dan Robert Lewandowski telah membawa kejayaan demi kejayaan kepada Borussia Dortmund termasuk mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim 2012/13. Malangnya, sesuatu yang mengejutkan berlaku.

Sebelum perlawanan peringkat separuh akhir UCL menentang Real Madrid, beliau telah mengumumkan akan meninggalkan pasukan untuk menyertai pasukan yang menjadi lawan mereka di perlawanan akhir kejohanan tersebut iaitu Bayern Munich.

Penyokong setia Dortmund menganggap tindakan Gotze itu ibarat ‘menikam dari belakang’ kelab yang selama ini bertanggungjawab mendidik dan mengasah bakatnya sejak kecil. Lebih perit lagi, pengumuman tersebut dibuat tidak lama sebelum pertembungan dengan ‘musuh tradisi’ mereka itu.

Daripada seorang pemain yang menjadi idola, beliau akhirnya digelar sebagai ‘pengkhianat’. Tambahan pula semasa perlawanan akhir UCL menentang Bayern, itu Gotze tidak diturunkan atas alasan mengalami kecederaan. Imejnya di mata penyokong Die Borussen ‘lebur’ begitu sahaja.

Ku sangka panas sampai ke petang

Musim pertamanya di Bayern Munich di bawah kendalian Pep Guardiola bermula agak baik dengan merekodkan 15 gol dan 13 bantuan jaringan untuk 45 perlawanan dalam semua pertandingan dan dipanggil menyertai skuad kebangsaan untuk ke kejohanan Piala Dunia 2014 di Brazil.

Dalam perlawanan akhir bertemu Argentina, Gotze bermula di bangku simpanan. Sebelum dimasukkan pada minit ke-88 menggantikan Miroslav Klose, ketua jurulatih Jerman, Joachim Low memberikan satu ‘kata azimat’ buatnya.

“Buktikan yang kamu lebih baik daripada Messi!”

https://twitter.com/KawowoFootball/status/1150042194113253376?s=20

Sejurus sahaja muncul wira negaranya dengan menjaringkan gol kemenangan menerusi rembatan voli pada masa tambahan, di situlah dikatakan bermulanya ‘saat kejatuhan’ Gotze yang dianggap sebahagian penyokong fanatik Dortmund sebagai ‘sumpahan’.

Dua musim berikutnya di Bayern Munich adalah ‘malapetaka’ apabila satu demi satu masalah menimpa dirinya. Beliau bergelut dengan beberapa siri kecederaan kecil dan prestasinya mulai merudum. Pemerhati bola sepak melihat potensi dan perkembangannya terbantut sepanjang tiga musim di Allianz Arena.

Gotze tidak pernah mencapai tahap permainannya ketika zaman kegemilangannya di Dortmund dan telah mengambil keputusan untuk pulang ke pangkuan bekas kelabnya itu pada 2016 dengan hasrat mampu mencapai prestasi terbaiknya.

Malangnya, ‘mimpi ngerinya’ masih belum berakhir. Bukan sahaja kepulangannya mendapat respon negatif dari penyokong setia Dortmund, beliau terpaksa direhatnya selama enam bulan kerana menghidap satu ‘penyakit misteri’ yang telah menyebabkan gangguan pada metabolisme tubuhnya.

Kenangan manis yang ‘menghantui’

Selepas dilaporkan pulih sepenuhnya dari penyakit yang hampir menyebabkan beliau berhenti dari bermain bola sepak, Gotze akhirnya kembali ke atas padang, tetapi ada satu lagi ‘penyakit’ yang tidak pernah sembuh iaitu ‘tekanan mental’.

“Saya menghadapi kesukaran untuk terus hidup dalam tekanan selepas menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia. Saya merasakan ia sentiasa menghantui saya setiap kali saya beraksi. Orang akan sentiasa mahu saya mampu bermain seperti malam itu dalam setiap perlawanan,” Luah Gotze.

Bekas pemain Bayern Munich dan Borussia Dortmund, Michael Rummigge yang pernah menjulang kejuaraan Bundesliga bersama kedua-dua pasukan dalam komennya mengenai Gotze mengatakan media sosial merupakan salah satu punca pemain tersebut hilang fokus kepada bola sepak.

“Dia perlu berubah. Dia telah hilang kepantasannya, jadi dia perlu ubah gaya permainannya untuk lebih berperanan sebagai perancang tengah. Dia tidak boleh lagi jadi menjadi penyerang.

“Yang lebih penting dia perlu tinggalkan benda mengarut di media sosial dan beri tumpuan sepenuhnya kepada bola sepak. Kadang-kadang bila saya lihat gambarnya di Instagram, saya tertanya-tanya dia masih pemain bola sepak atau nak jadi pelakon,” kata Rummenigge dalam satu temubual yang disiarkan Ronaldo.com.

Umur Gotze pada hari ini baru berusia 27 tahun dan usia itu boleh dianggap sebagai kemuncak bagi sesetengah pemain bola sepak profesional. Jodohnya bersama Borussia Dortmund mungkin sudah berakhir namun beliau masih mempunyai banyak masa untuk kembali mencari dirinya yang telah ‘hilang’.

Tetapi beliau sendiri pernah mengatakan, “Saya tak akan jadi seperti Gotze yang dulu lagi.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Mario Gotze:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN