“Saya Tak Mahu Rakan Sepasukan Terlalu Hormati Lawan” -Shahurain Abu Samah

Walaupun bakal berdepan dengan salah satu kelab terkuat Malaysia yang juga merupakan juara Piala FA 2019 iaitu Kedah Darul Aman, nyata pasukan dari Liga M3, Syarikat Air Negeri Sembilan FC (SAINS FC) mempunyai tekad yang tinggi dengan tidak akan mengaku kalah sebelum berjuang.

Kedua pasukan tersebut bakal membuat perhitungan pertama mereka bagi aksi Piala FA pusingan pertama di Stadium Darul Aman pada malam ini bagi menentukan siapa layak ke peringkat seterusnya.

“Di atas kertas, kita tahu bagaimana kekuatan lawan yang dibarisi ramai pemain bintang selain tonggak-tonggak import tetapi kami akan cuba sedaya upaya berikan saingan.

“Saya tidak mahu rakan-rakan bersikap terlalu menghormati lawan bila beraksi di atas padang kerana situasi itu boleh menyukarkan lagi keadaan.

“Harus diingat, dalam bola sepak apa-apa boleh terjadi, jadi saya harap kami boleh berikan sehabis baik serta mampu meraih keputusan terpuji buat pasukan untuk dibawa balik ke Seremban,” katanya menerusi laman MFL.

Selaku bekas tonggak serangan skuad kebangsaan, Shahurain juga pernah beraksi bersama Negeri Sembilan dan meraih kejuaraan Piala FA bersama kelab tersebut pada musim 2010 selain membantu mengecapi Piala Malaysia pada 2009 dan 2011.

Shahurain juga pernah bersama kelab PKNS, Felda United, serta PDRM dalam kariernya di Liga Super sebelum ini dan menjadikan SAINS FC sebagai pasukan diwakilinya kini.

SAINS FC kini yang dikendalikan oleh Leong Hong Seng turut diperkuatkan dengan beberapa lagi bekas pemain Liga Super pada beberapa musim lalu selain Shahurain.

Antara pemain tersebut ialah Yosri Derma Raju, Tengku Qayyum Ubaidillah, S. Sivanesan, Jibrail Kamaron Baharin, serta A. Segar.

Berbekalkan pengalaman-pengalaman pemain tersebut sebelum ini yang pernah menghadapi lawan-lawan besar, Shahurain berharap agar dapat membantu kelab bagi menghadapi Kedah yang dilihat sangat ampuh malam ini di laman sendiri.

“Mungkin sebahagian besar daripada kami sudah tidak bermain di tahap tertinggi seperti Liga Super atau Liga Premier tetapi aspek pengalaman boleh membantu pasukan.

“Ramai pemain dalam pasukan ini seperti Yosri, Qayyum dan Sivanesan selain pemain-pemain lain boleh memastikan kami tidak terlalu gugup apabila bertandang ke Darul Aman.

“Malah keserasian kami bertambah baik selepas melalui tiga perlawanan di Liga M3, harap perkara itu boleh memberikan kami keyakinan,” katanya.

Antara perlawanan lain yang turut bakal berlangsung malam ini ialah membabitkan Sabah menentang Respect FC di Stadium Likas serta perlawanan yang terpaksa ditangguhkan iaitu Melaka United dan PIB FC akibat serangan Covid-19.

Sumber:
MFL

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN