Bercakap kepada Berita Harian, ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan Datuk Ong Kim Swee mengesahkan beliau ketika ini sudah mengenalpasti 15 nama untuk skuad Sukan SEA 2017. Dengan pengesahan tersebut, tinggal hanya lima slot pemain sahaja yang perlu beliau isi sebelum mengumumkan senarai akhir 20 pemain pada hari ini.
“Saya berpuas hati dengan prestasi dan komitmen pemain dalam latihan. Ketika ini boleh saya katakan sudah mempunyai pilihan 15 pemain manakala bakinya akan saya tentukan nanti,” jelas Kim Swee.
Antara yang dijangka mudah mendapat tempat dalam senarai akhir 20 pemain adalah beberapa tonggak terbaik skuad muda negara pada ketika ini iaitu penjaga gawang, Ifwat Akmal Chek Kassim, Matthew Davies, Adib Zainudin, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad. Selain itu, pemain yang boleh beraksi lebih daripada satu posisi seperti Ariff Farhan Md Isa dan Adam Nor Azlin juga sudah pasti tersenarai.
Ketika ini, Kim Swee sedang menanti keputusan laporan imbasan MRI untuk penyerang, N. Thanabalan yang mengalami kecederaan lutut. Pemain Felcra FC itu adalah antara watak penting dalam beberapa siri perlawanan antarabangsa skuad B-23 kebangsaan di bawah kendalian Kim Swee tahun ini.
Thanabalan juga merupakan salah seorang pemain yang membantu skuad negara melayakkan diri ke Kejohanan AFC B-23 tahun hadapan.
“Saya melihat kecederaan yang dialami tidak begitu teruk tetapi saya perlu menunggu keputusan ujian itu terlebih dahulu. Memang saya berharap dia akan terus bersama pasukan,” katanya lagi yang pernah membimbing skuad B-23 kebangsaan meraih emas di Jakarta pada edisi 2011.
Selain itu, Kim Swee terpaksa akur yang skuadnya tidak mempunyai sebarang perlawanan persahabatan menjelang aksi pertama Isnin depan menentang Brunei. Mengakui aksi pemanas badan penting sebagai persediaan pasukan, namun beliau yakin perancangannya tidak terjejas dengan senario tersebut.
“Jadi, kita hanya akan fokuskan kepada sesi latihan, selain menilai setiap kemampuan pemain sebelum pertemuan pertama dengan Brunei, Isnin ini. Kita juga akan menggunakan perlawanan dengan Brunei itu untuk meningkatkan momentum pemain dan saya yakin selepas itu kita akan bertambah baik bagi menghadapi perlawanan seterusnya ,” ujar Kim Swee kepada Sinar Harian.
Jurulatih berusia 46 tahun itu juga menegaskan yang skuadnya akan memburu tiga mata pertama dalam aksi pembukaan nanti namun, tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan Brunei. Kemenangan akan memberikan motivasi kepada skuadnya untuk meneruskan aksi kumpulan sebelum memikirkan untuk ke peringkat lebih tinggi.
Sumber Rujukan:
- Aziman Rosdi, Berita Harian (2017): Kecederaan Thanabalan Resahkan Kim Swee; http://www.bharian.com.my/sukan/bola/2017/08/311200/kecederaan-thanabalan-resahkan-kim-swee
- Aziman Rosdi, Berita Harian (2017): Kurang Perlawanan Tidak Jejas Kemampuan Pemain – Kim Swee; http://www.bharian.com.my/sukan/bola/2017/08/310861/kurang-perlawanan-tak-jejas-kemampuan-pemain-kim-swee
- Muhammad Zakwan Nazaraly, Sinar Harian (2017): Kim Swee Terpaksa Akur; http://www.sinarharian.com.my/mobile/sukan/kim-swee-terpaksa-akur-1.716966