Dalam rancangan Nadi Arena yang berlangsung pada jam 4 petang tadi yang telah membabitkan Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) bagi membicarakan hal ‘tangan ghaib’ seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Dalam intipati temubual eksklusif itu juga turut membincangkan mengenai perlantikan Nelo Vingada yang telah dilantik sewaktu TMJ memegang tampuk kepimpinan FAM sebelum ini yang dilihat juga menjadi punca kegagalan Harimau Malaya ketika itu.
Jelas TMJ dalam temubual tersebut, Bojan Hodak merupakan individu penting yang memperkenalkan Nelo Vingada kepada pengurusan FAM.
“Banyak orang bangkitkan isu Nelo Vingada. Tahu macam mana saya kenal Nelo Vingada? Bojan Hodak yang perkenalkan saya Nelo Vingada,” terang TMJ ketika itu.
Ketika itu juga, TMJ menjelaskan tugas beliau sewaktu di FAM lebih kepada untuk membayar hutang-hutang yang ditinggalkan serta memperbetulkan kembali perlembagaan kerana merasakan kuasa FAM ketika itu terlalu besar.
“Masa itu saya punya komitmen adalah untuk menyelesaikan hutang-hutang yang ada dalam FAM dan juga untuk menukar perlembagaan.
“Kerana pada masa itu kuasa Presiden FAM terlampau besar sangat. Jadi kami terpaksa menukar kembali perlembagaan tersebut kerana FAM bukannya pemilik liga.
“Jadi saya tak dapat beri perhatian 100% kepada skuad kebangsaan kerana sibuk memperbetulkan sistem yang ada. Termasuk dengan hutang dan kes-kes lama,” terang TMJ panjang lebar.
Setelah kembali untuk memfokuskan mengenai skuad Harimau Malaya, TMJ merasakan ada yang tidak kena dengan Nelo Vingada lalu mengetepikan pengendali tersebut untuk digantikan kepada Tan Cheng Hoe.
Pendapat TMJ, jangan sesekali merasa takut untuk membuat sebarang perubahan asal perancangan yang direncana tersebut jelas.
“Jurulatih dalam pasukan JDT saya sudah tukar sebanyak sembilan kali. So, jangan takut nak tukar apa-apa.
Yang penting, perancangan tu kena jelas, visi tu kena jelas, polisi kena jelas. Itu yang paling mustahak sekali,” jelas TMJ.
Menurut TMJ, semua orang pasti akan membuat silap. Beliau sendiri mengakui kesilapan yang dilakukan tetapi mengambil inisiatif berani untuk bertanggungjawab atas kesalahan yang dibuat dengan membuat tindakan-tindakan lebih tepat selepas itu.