Penang kini antara pasukan yang bakal diberi nafas baru kembali dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) setelah mereka mendapat khidmat jurulatih berpengalaman iaitu Zainal Abidin Hassan untuk meneruskan persaingan sehingga penghujung musim.
Zainal yang dilantik semalam menyifatkan tugas amat berat bakal menanti beliau sebaik sahaja sah menjadi pengendali terbaharu kelab tersebut bagi menggantikan khidmat Thomas Trucha.
Zainal Abidin Hassan is back! He is Penang FC’s new head coach.
(Graphic by @Penang_FC FB)#HariaPenangHaria #LigaSuper2022 pic.twitter.com/W3HfTDamZ7— FC Penang (@FCPenang) June 1, 2022
Menurut pengendali tersebut, tugasan paling mencabar ketika ini adalah untuk memperbaiki kembali pasukan memerlukan lebih masa dan bergantung kepada kelulusan pengurusan Penang sendiri.
“Insya-Allah saya akan buat yang terbaik. Kita tahu kedudukan pasukan dalam Liga Super, jadi tugas amat berat menanti saya untuk memperbaiki pasukan.
“Saya seorang tidak boleh membuat keajaiban. Saya perlu sokongan semua. Terima kasih kepada pengurusan Penang FC dan pasukan kerana memberi kepercayaan kepada saya mengendalikan pasukan,” katanya ketika ditemui Arena Metro selepas perlawanan latihan Penang FC menentang Skuad Sukma Pulau Pinang di Stadium Bandaraya semalam.
Untuk rekod, Zainal pernah membimbing Penang pada selama satu musim pada tahun 2017 sebelum membuka lembaran baharu bersama Melaka United pada tahun 2018 dan kekal sehingga pada tahun lalu bersama kelab tersebut.
Dalam masa sama, pengendali berusia 60 tahun itu melihat kelemahan utama Penang ketika ini adalah di bahagian pertahanan yang dilihat perlu dirombak semula.
Zainal juga meminta sendiri pandangan serta input daripada pembantu jurulatih iaitu Manzoor Azwira serta Chong Yee Fatt agar dapat memperkemaskan kembali posisi tersebut sebelum saingan liga kembali bersambung.
“Selepas saya mengadakan mesyuarat bersama pihak pengurusan, ini adalah masanya dalam beberapa hari untuk saya meneliti pasukan.
“Insya-Allah akan ada sedikit perubahan atau penggantian pemain akan dibuat untuk memperbaiki pasukan selepas perbincangan dibuat,” katanya.
Penang ketika ini berada di tangga terakhir carta Liga Super 2022 setelah mencatat lima kekalahan dan tiga seri daripada lapan perlawanan dihadapi mereka selain hanya mengutip tiga mata keseluruhan.
📊 KEDUDUKAN – LS9#LigaSuper2022 pic.twitter.com/FcMZd2X8nQ
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 17, 2022
Zainal juga menyatakan formula diperlukan beliau untuk menambah baik keserasian para pemain adalah kerjasama berpasukan dan bahasa tubuh terutama sekali melibatkan barisan pemain import.
Beliau bakal menggunakan segala pengalaman yang ada untuk memperbaiki aspek tersebut sekali gus menguatkan kembali pasukan untuk berdaya saing dalam saingan liga.
“Saya belum tahu sepenuhnya apakah kehilangan pasukan yang kita lihat begitu baik dalam setahun dua lalu. Jadi saya akan selidik. Sebab saya berada di sini kerana keyakinan diberi kepada saya dan kepercayaan yang saya ada.
“Saya seorang tidak boleh buat kerja ini. Jadi perlu bantuan khususnya pemain mengubah serta menerima saya dengan baik dan Insya-Allah saya akan mengubah mereka lebih baik daripada sebelum ini,” katanya.