“Saya Nak Lihat Sabah Kembali Dihormati dan Digeruni!” – Ketua Menteri Sabah

Sabah yang kini dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee telah dicabar agar mengembalikan semula kehebatan kelab itu yang pada suatu ketika amat digeruni dan berjaya melahirkan ramai pemain bertaraf bintang.

Datuk Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah mencabar pasukan tersebut dengan harapan agar kembali menyerlah, terutama sekali setelah melihat barisan pemain baharu yang lebih mantap musim ini.

“Sabah pernah menjadi antara pasukan bola sepak elit negara yang melahirkan ramai bintang seperti Datuk James Wong, Datuk Hasan Sani, Matlan Marjan dan Datuk Peter Rajah.

“Justeru, saya ingin melihat Sabah kembali menjadi pasukan hebat yang amat digeruni dan dihormati bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di rantau ini,” katanya pada pelancaran jersi pasukan Sabah FC untuk musim baharu Liga Super, di Pusat Beli Belah Imago, di sini, hari semalam menerusi Berita Harian.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Khairul Firdaus Akbar selaku Ketua Pegawai Eksekutif Sabah, Datuk Dr Jelani Hamdan yang merupakan Pengarah Sabah, serta Kim Swee.

Jelas Hajiji, beliau melaungkan keyakinan akan kemampuan Sabah mencatat kejayaan di bawah kepimpinan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bersama pasukan pengurusannya.

Hajiji juga percaya selain menggunakan formula yang betul, dengan adanya komitmen dan kerja keras yang berterusan mampu melonjakkan kembali Sabah ke tahap yang lebih baik dan bangkit dengan gemilang.

Dalam masa sama, selain hanya memberi kata semangat kepada barisan pemain Sabah musim ini, beliau juga menggesa mereka semua agar mengekalkan komitmen dan mempamerkan imej profesionalisme yang tinggi sepanjang bersama pasukan.

“Anda mesti mempunyai disiplin yang baik, sentiasa melindungi reputasi pasukan dengan tahap profesionalisme yang tinggi. Dengan berbuat demikian, anda bukan sahaja akan menjadi contoh kepada pemain yang lebih muda dan akan datang tetapi meletakkan anda pada kedudukan yang lebih baik dalam kerjaya,” katanya.

Untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022 ini, Sabah telah menandatangani ramai pemain bintang tempatan untuk memperkuatkan pasukan. Antara nama besar tersebut ialah Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Nazirul Naim Che Hashim, Dominic Tan, dan Khairul Fahmi Che Mat.

Mereka juga diperkuatkan dengan barisan pemain import dari Brazil, Jepun, Korea Selatan, dan Indonesia. Antara nama import yang mencuri tumpuan sudah tentu Saddil Ramdani yang cemerlang pada musim lalu.

Hajiji juga amat gembira mengenai jersi baru Sabah apabila mengetahui jersi musim 2022 tersebut digabungkan dengan beberapa elemen tempatan yang disifatkan beliau sebagai cara yang menarik untuk menjana pendapatan melalui penjenamaan pasukan.

Pada musim ini, pelancaran jersi Sabah untuk laman sendiri dinamakan sebagai ‘My Skin’, manakala untuk versi tempat lawan diberi nama ‘Dua Belas’ dimana jersi-jersi tersebut mendapat tajaan Lotto untuk tahun kedua berturut-turut.

Sumber:
Berita Harian

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN