Melepasi peringkat kumpulan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 adalah sasaran yang diletakkan oleh kelab bola sepak Johor Darul Takzim (JDT) untuk musim ini.
Jelas Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang merupakan pemilik kelab tersebut menyuarakan keyakinan mengenai barisan para pemain JDT ketika ini mampu untuk membawa sesuatu yang positif buat pasukan berada dalam kedudukan lebih baik berbanding musim lalu.
“InsyaAllah kalau kita dapat melepasi peringkat kumpulan itu lebih daripada cukup. Saya ini suka sasaran realistik, saya tidak suka bagi penyokong saya janji-janji manis atau pun cerita-cerita dongeng,” titah baginda pada sidang media pengumuman penaja baharu Kelab Bolasepak JDT di sini pada hari semalam menerusi Harian Metro.
Penyandang gelaran juara saingan AFC musim 2015 buat pertama kali itu telah diundi dalam Kumpulan I yang menyaksikan mereka bersama kumpulan gergasi dari Jepun iaitu, Kawasaki Frontale, Guangzhou FC dari China, dan pemenang perlawanan play-off antara Ulsan Hyundai dari Korea Selatan dan pasukan dari Thailand, Port FC.
Lebih menarik musim ini buat JDT, mereka turut dipilih selaku tuan rumah bagi keseluruhan perlawanan yang membabitkan Kumpulan I dan bakal membuka tirai kejohanan pada 15 April ini hingga 1 Mei depan.
Titah Tunku Ismail, juara Liga Super musim lalu itu turut meletakkan sasaran realistik untuk berada di kedudukan empat terbaik Liga Super dan layak ke suku akhir Piala Malaysia.
Dalam masa sama, Baginda turut menyatakan kepada media mengenai seorang lagi pemain import dari Sepanyol bakal hadir menyertai pasukan. Namun, segala butiran lanjut mengenai pemain tersebut masih tidak boleh didedahkan lagi buat ketika ini.
Sebelum itu, JDT mengorak langkah lebih jauh apabila berjaya mengumumkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) selaku penaja baharu dan memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai suatu tanda komitmen kedua belah pihak bagi menaikkan lagi taraf bola sepak tempatan ke arah lebih tinggi.
Selain itu, Tunku Ismail turut menyuarakan rasa bangga mengenai kerjasama tersebut kerana ia menjadi salah satu tanda kejayaan bagi sesebuah kelab bukan hanya sekadar diukur berdasarkan pencapaian atas padang dalam suatu perlawanan, tetapi juga seiring dengan kejayaan luar padang.
“Anda boleh melihat JDT sangat agresif dengan agenda komersial kelab dan infrastruktur bola sepak kami. Jadi, di sinilah yang meletakkan kami sangat berbeza daripada kelab lain… pasti kami akan terus maju dan mencipta lebih banyak sejarah,” titah baginda.
Menerusi kenyataan dikeluarkan, dengan penerbangan ke 1,000 destinasi di 150 negara seluruh dunia, kelab gergasi dari selatan Malsysia ini bakal menjadi tontonan ramai di segenap lapisan yang mana siri ‘Fearless: Rise of The Southern Tigers’ bakal ditayangkan di dalam sistem hiburan penerbangan di kesemua pesawat MAB dalam keseluruhan rangkaiannya.