Syamer Kutty Abba: “Saya Bersedia Untuk Bersaing Di JDT”

Pemain tengah skuad kebangsaan, Syamer Kutty Abba telah diumumkan secara rasmi antara nama baharu yang menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk saingan liga musim hadapan.

Martin Prest, Pengarah Sukan JDT telah mengumumkan penyertaan pemain berusia 20 tahun ini menerusi kemaskini di laman facebook Johor Southern Tigers pada 18 November yang lalu.

Sebagaimana Adam Nor Azlin, menurut Martin Prest, Syamer juga merupakan projek jangka panjang JDT. Oleh itu, untuk melihat Syamer berada dalam kesebelasan utama JDT dalam masa terdekat, agak mustahil.

Semuanya BOLA telah menghubungi Syamer untuk bertanyakan serba sedikit mengenai perancangan dan prospeknya bersama JDT pada musim hadapan.

“Ya, saya selalu bersedia, kerana setiap hari adalah peluang untuk jadi yang lebih baik,” ujar Syamer apabila diajukan persoalan tahap kebersediaannya bagi bersaing merebut tempat di JDT.

Syamer turut menyatakan selain daripada persaingan yang akan membantu dirinya untuk menjadi lebih baik, JDT mampu memberikan sesuatu yang lebih kepadanya. Ini kerana JDT memiliki segalanya yang terbaik.

“Ia adalah satu penghargaan buat saya untuk bersama dengan kelab terbaik di Malaysia, yang memiliki fasiliti terbaik, pemain-pemain terbaik dan cara latihan yang terbaik,” jelasnya.

“Sememangnya, ia (tawaran JDT) telah menarik perhatian saya,” akui pemain tinggi lampai yang pernah beraksi bersama Harimau Muda C pada tahun 2015 itu lagi.

Selain ingin membarisi kesebelasan utama, impian Syamer kini adalah untuk memperbaiki permainannya apabila berada di JDT dan dapat belajar daripada ramai pemain berpengalaman.

Semuanya BOLA pernah bertanyakan kepada Syamer mengenai berita yang mengaitkan dirinya bakal menyertai JDT menerusi artikel:Syamer Kutty Abba Belum Buat Keputusan Mengenai Masa Depannya, namun Syamer memilih untuk mendiamkan diri.

Kredit Foto: South China Morning Post

Menurut Syamer, JDT telah menghubunginya selepas aksi cemerlangnya bersama skuad Sukan SEA 2017 yang telah meraih pingat perak. Malaysia tewas kepada Thailand dalam aksi final tersebut.

“Bersyukur kepada Allah atas rezeki ini dan saya sangat gembira,” ujarnya ringkas apabila ditanya mengenai perasaannya apabila telah menyertai kelab Harimau Selatan itu.

Syamer telah mempamerkan aksi mengujakan di jentera tengah ketika Sukan SEA dan ianya turut menarik perhatian ketua jurulatih skuad kebangsaan, Nelo Vingada.

Nelo Vingada telah memberikannya peluang untuk beraksi bersama skuad kebangsaan dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong pada 10 Oktober lalu.

Photo by Zam Zainal / www.asiana.my

Sejak dari penampilan pertama itu, Syamer seolah-olah tidak lagi menoleh kebelakang apabila kerap kali mendapat kepercayaan Vingada untuk berada dalam kesebelasan utama.

Sebagai anak jati Pulau Mutiara dan permulaan karier juga di sana, pasti ianya agak sukar buat dirinya untuk membuat keputusan meninggalkan Pulau Pinang untuk bersama JDT.

Menurutnya, keluarga dan sahabat yang telah membantu dirinya dalam membuat keputusan sukar ini. Mereka adalah pendorong utama buat Syamer dalam perjalanan karier bola sepaknya.

“Dahulu saya juga adalah seorang penyokong Pulau Pinang yang akan datang ke stadium setiap kali perlawanan. Jadi, ia adalah satu kebanggaan untuk menyarung jersi Pulau Pinang yang saya idamkan sejak kecil lagi.

“Jutaan terima kasih kepada semua penyokong Pulau Pinang yang telah bersama kami walaupun dalam suka dan duka,” ungkap pemain yang telah bersama Pulau Pinang sejak bergelar pemain Piala Presiden itu lagi.

Syamer turut menitipkan ucapan khas buat pengurusan Pulau Pinang, barisan kejurulatihan, rakan-rakan sepasukan dan juga para penyokong dalam facebook peribadinya.

Dari kami di Semuanya BOLA, kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya bersama JDT buat Syamer Kutty Abba!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN