“Saya akan tetap mempertahankan pemain [rakan sepasukan] di dalam dan luar padang,” itulah antara penjelasan kapten Selangor FC mengenai insiden selepas perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC pada malam tadi.
Di sebalik kemenangan besar ke atas salah sebuah pasukan utama di dalam saingan Liga Super pada musim ini, barisan pemain The Red Giants tetap menjadi mangsa kecaman dan makian penyokong sendiri walau pun merekodkan kemenangan besar 4-1 ke atas lawan mereka itu di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (Stadium MBPJ) di saingan Liga Super pada malam tadi.
Lama senyap hisap kote sana-sini, hari ni Ultrasel muncul dengan kepala bodoh dia. Kalau ada anugerah penyokong paling bodoh, Ultrasel adalah sang juara, mentaliti juara! pic.twitter.com/2yh0XQeWTt
— S𝙚𝙡𝙖𝙣𝙜𝙤𝙧 P𝙤𝙬𝙚𝙧 S𝙖𝙢𝙥𝙖𝙞 K𝙞𝙖𝙢𝙖𝙩 (@SpskOfficial) April 10, 2022
Berdasarkan video yang menjadi tular di media sosial, segelintir penyokong dilihat berkonfrontasi dengan kapten pasukan, Safuwan Baharudin dan penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid selepas tamat perlawanan.
Berdasarkan rakaman yang tular, seorang penyokong daripada kalangan kumpulan penyokong garis keras UltraSel kedengaran memarahi kapten pasukan Selangor itu kerana kecenderungan pasukan yang begitu mudah dibolosi lawan dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.
Safuwan sebelum itu dilihat menarik penjaga gol, Khairulazhan Khalid yang turut menjadi mangsa provokasi penyokong mereka sendiri, sebelum dirinya turut menjadi mangsa.
Penjelasan Safuwan
Melalui muat naik di IG Story peribadinya, Safuwan menjelaskan tindakannya itu.
“Selagi Brendan Gan, kapten sebenar pasukan belum kembali ke padang [untuk beraksi], saya akan berusaha sehabis baik untuk mempertahankan pemain [rakan sepasukan] di dalam dan di luar padang.
“Tetapi kalau insiden seperti semalam terjadi, memang agak mengecewakan bagi saya. Kata-kata yang keluar daripada mulut anda hanya menceritakan peribadi diri anda.
“Mari lupakan [move on] daripada perkara ini, dan terus berikan sokongan kepada pasukan tanpa syarat.
“Akhirnya kita semua hanyalah manusia biasa. Sentiasalah positif. Dan saya sudah maafkan anda,” kongsi Safuwan sebentar tadi.
Penyokong tiada etika
Video tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada netizen khususnya daripada kalangan penyokong Selangor.
Ada yang berpendapat penyokong tersebut tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata kasar sebegitu kerana pemain juga mempunyai perasaan.
Ada juga yang berpendapat penyokong sendiri harus menukar mentaliti untuk tidak menjatuhkan moral penyokong yang berjuang mati-matian di atas padang.
Di dalam situasi di atas, penyokong itu mungkin berharap Selangor menampilkan aksi lebih konsisten sepanjang pertandingan Liga Super dan tidak terbuai-buai hanya selepas merekodkan satu kemenangan – khususnya di bahagian benteng yang begitu mudah dibocori.
Episod penyokong melampaui batas terhadap pemain di dalam bola sepak Malaysia sebenarnya bukan perkara baharu.
Tetapi respon daripada Safuwan juga harus dipuji kerana tenang ketika berhadapan dengan situasi tersebut. Pemain tengah Singapura itu turut menunjukkan semangat juang yang tinggi di dalam padang dan selayaknya memakai lilitan kapten The Reds atas sifat kepimpinan yang ditunjukkannya.