Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) baru sahaja kemaskini kedudukan terbaru AFC MA Ranking pada bulan November 2017 semalam.
Menurut kedudukan ranking tersebut, Hong Kong gagal memintas Malaysia dan kekal di kedudukan ke 7 diperingkat asia timur dengan perbezaan 0.2649 mata.
Dengan kedudukan ini, bermakna Malaysia akan menerima 1 slot automatik ke peringkat kumpulan dan 1 slot kelayakan pusingan kedua dalam saingan AFC Champions League 2019 dan 2020.
Itu juga bermakna juara liga super 2018 akan layak secara merit ke kejohanan AFC Champions League 2019 manakala juara Piala FA mungkin akan menerima slot kelayakan pusingan kedua.
Selain itu, dengan terimanya slot automatik ini, Malaysia tidak akan bertanding lagi dalam saingan kelas kedua, AFC Cup mulai tahun 2019.
Hal ini kerana menurut peraturan yang ditetapkan oleh pihak AFC, mana-mana MA yang menerima sekurang-kurangnya 1 slot automatik ke peringkat kumpulan AFC Champions League tidak akan beraksi dalam saingan AFC Cup.
Namun begitu, pasukan liga super yang ingin beraksi dalam saingan AFC Champions League perlu mempunyai lesen AFC terlebih dahulu.
Setakat ini hanya pasukan JDT, Pahang, Selangor dan PKNS FC yang disahkan lulus dalam perlesenan AFC.