Selangor akhirnya menamatkan rentetan tanpa kemenangan sejak awal musim 2019 dengan merekodkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas musuh setempat, Kuala Lumpur, malam tadi.
Ia merupakan 3 mata pertama buat pengendali baharu Selangor, B. Satiananthan yang berada dalam tekanan dengan pelbagai cerita di luar padang mengenai masa depannya bersama Selangor.
Kuala Lumpur terlebih dahulu mendahului perlawanan dengan 2 gol sebelum Gergasi Merah berjaya bangkit meledak 3 gol di babak kedua menerusi gol jaringan dua bekas pemain Kedah, Sandro da Silva dan Syazwan Zainon serta Amri Yahyah.
Ditemui iflix untuk sesi post match reaction, Satiananthan jelas lega dengan keputusan pada malam semalam dan memberikan kredit kepada barisan pemain-pemainnya yang berjuang habis-habisan.
“Saya inginkan ucapkan syabas kepada pemain-pemain dan anak buah saya, walaupun kita ketinggalan 2-0 dengan keluarnya Rufino (Segovia), kita dapat jaring 3 gol dan 3 mata pertama,” ujarnya.
Kebangkitan Selangor bermula pada minit ke-67 menerusi jaringan Sandro melalui sepakan penalti. Ia umpama memberi nafas buat Gergasi Merah untuk bangkit seterusnya memenangi perlawanan.
“Aksi yang kita main, bukan aksi yang biasa dengan kita tetapi semangat bangkit melawan itu sudah ada.
“Tekanan, ketinggalan 2-0 dan gol awal – inilah yang bermain di fikiran pemain-pemain,” tambah Satianathan lagi.
Sejak permulaan musim, Selangor hanya mampu mengutip 3 mata menerusi 3 keputusan seri dan tewas dalam dua aksi lagi – tumbang kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan PKNS FC.
Ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pengendali pasukan malah keseluruhan pasukan pastinya terjejas dengan beberapa keputusan yang tidak memihak kepada mereka.
Perlawanan malam ini turut menyaksikan penyerang sensasi, Rufino Segovia dikeluarkan di awal babak pertama.
“Mujur kita ada 21 hari, kita boleh perbaiki perkara ini tetapi kita akan bagi pemain-pemain rehat dahulu.,” ujarnya lagi.
Liga Super akan berehat sehingga ke hujung bukan ini atas sebab perlawanan antarabangsa dan juga Kelayakan AFC B23.
Selepas rehat panjang itu, Selangor bakal berdepan dua aksi mencabar dengan perlawanan menentang Terengganu FC dan Melaka United – bakal menguji kemampuan dan karekter pasukan.