Ketua Jurulatih Selangor, B. Satiananthan melalui laporan oleh Bernama melahirkan kekaguman akan prestasi yang ditampilkan oleh skuad muda Kelantan selepas perlawanan persahabatan diantara kedua-dua buah pasukan.
Pada perlawanan yang diadakan pada Selasa lalu, Selangor menewaskan Kelantan 2-0 hasil jarinan Safuwan Baharudin dan Taylor Regan.
Walaupun menang dalam perlawanan tersebut, Kelantan berjaya menampilkan saingan yang diperlukan oleh pasukan Liga Super itu.
“Malam tadi [Selasa] mereka banyak menguasai bola, mencipta peluang dan memberikan banyak masalah kepada saya, namun nasib masih tidak menyebelahi mereka,” ujar Satiananthan.
“Kelantan sudah mempunyai pemain tempatan yang bagus, namun mereka perlu mendapatkan pemain import yang lebih berkualiti.”
Bagi Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah pula lebih gusarkan dengan gandingan penyerang di dalam pasukan, dan kini hanya mempunyai tempoh sekitar dua minggu untuk mencari penyelesaian.
“Penyerang import yang diuji dilihat masih tidak membawa sesuatu kelainan dengan pemain tempatan sedia ada.
“Beberapa perlawanan persahabataan sebelum ini pasukan mempunyai kelemahan pada posisi serangan, apabila pasukan mencipta banyak peluang, tetapi gagal disudahkan,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, Kelantan turut menurunkan pemain dari Liberia, Christopher Jackson dan kehadiran pemain tersebut hampir menggembirakan hampir 5,000 penyokong setia TRW apabila tandukkan berjaya dikuis keluar oleh Khairul Azhan pada minit ke-70 perlawanan.
Kelantan akan melayan kunjungan Kuala Lumpur dalam perlawanan pembukaan Liga Premier di tempat sendiri pada 29 Februari hadapan.