Satiananthan: “Saya Sangka Jurulatih Jerman Boleh Bawa Mereka Ke Asia Tapi …”

Satiananthan Selangor FC kritik ke Asia DNA Jerman

Bekas pengendali Selangor FC, B Satiananthan tertarik memberikan ulasan mengenai pencapaian pasukan lamanya dan jurulatih Jerman mereka selepas mereka tersingkir di peringkat suku akhir Piala Malaysia 2021.

Selangor tumbang 0-3 secara agregat kepada musuh Lembah Klang mereka, KL City FC dan gagal menyamai pencapaian edisi 2019 – mara ke separuh akhir saingan Piala Malaysia, ketika di bawah kendalian Satiananthan.

“Saya sangkakan jurulatih dari Jerman boleh membawa mereka ke Asia dan membantu mencapai apa yang saya gagal lakukan tapi sayang, kalau dilihat pencapaian dia, tidaklah lebih baik daripada saya,” ungkapnya.

“Penyokong Selangor mengatakan saya gagal tetapi pada musim pertama bersama Selangor, saya bawa pasukan itu menduduki tangga ketiga Liga Super dan layak sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia. Jangan lupa, sebelum saya masuk, Selangor duduk nombor lapan liga,” tambahnya kepada La Bola Malaya.

Ulas Satiananthan tentang prestasinya berbanding Karsten Neitzel yang diimport dari Jerman, “Manakala jurulatih Jerman pula pada musim pertama duduk nombor lima liga dan suku akhir Piala Malaysia. Jadi, pencapaian saya adalah lebih baik apatah lagi saya mengendalikan pasukan dengan pelbagai kekangan.”

Malah pengendali berusia 63 tahun itu menjelaskan pelbagai kekangan ketika beliau membimbing The Red Giants berbanding Karsten Neitzel yang nampaknya lebih ‘senang’ untuk mendapat apa yang dimahukannya.

Antara contoh yang diberikannya adalah beliau tidak diberikan kebenaran untuk membawa penyerang import baharu untuk menggantikan Rufino Segovia akibat ketiadaan dana. “Penyokong kritik Prabhakaran dan saya mahu dapatkan Fitri Omar pun tak dapat,” ujar Satiananthan lagi mengenai kekangan yang telah dilaluinya.

“Apa  yang saya mahu katakan, jurulatih tempatan ada kualiti untuk membuat lebih baik berbanding jurulatih luar jika diberi sokongan yang wajar daripada pengurusan. Janganlah kita terlalu mengagung-agungkan jurulatih luar hanya kerana lesen mereka dari negara Mat Salleh,” tegas Satiananthan mengenai kritikannya.

Beliau tiada masalah dengan perubahan dan keberanian Presiden pasukan, Raja Muda Selangor (RMS), namun beliau berpendapat yang individu-individu yang diberikan tugas tersebut gagal membawa perubahan tersebut.

Satiananthan mula membimbing Selangor pada November 2018, iaitu sebelum permulaan musim 2019 dan telah meninggalkan pasukan pada September 2020. DI bawah kendaliannya, pencapaian terbaik adalah pada musim 2019 iaitu menduduki tangga ketiga liga dan mara sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN