Satiananthan: “Sambung Kontrak Tan Cheng Hoe Selama Dua Tahun !”

Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B. Satiananthan mengesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melanjutkan kontrak ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sekurang-kurangnya selama dua tahun.

Beliau berkata demikian dalam Berita Harian ketika diminta mengulas mengenai kontrak bekas jurulatih Kedah itu yang akan tamat pada penghujung bulan ini selepas mengambil alih tugas tersebut daripada Nelo Vingada.

Katanya, kontrak Cheng Hoe wajar dilanjutkan selepas beliau mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh FAM iaitu membawa skuad Harimau Malaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF.

“Minimum kontrak dua tahun!,”

“Sejak Cheng Hoe mengambil alih skuad kebangsaan, anda sendiri dapat saksikan perubahan besar khususnya corak permainan dan walaupun tewas di tangan Vietnam, saya lihat ia satu persembahan yang memberangsangkan.

“Dengan falsafah bola sepak yang sudah diterapkan dan corak permainan yang lebih baik, sudah tentu Cheng Hoe seharusnya dikekalkan supaya dapat meneruskan kesinambungan terhadap apa yang sudah dilakukannya setakat ini.

“Pencapaiannya juga lebih baik berbanding jurulatih asing sebelum ini. Memang Cheng Hoe individu paling tepat untuk mengendalikan skuad Harimau Malaya,” katanya.

Tan Cheng Hoe. FOTO: FAM

Sementara itu, jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim turut bersetuju dengan pendapat Satiananthan selepas melihat Cheng Hoe menerapkan corak permainan berbeza dalam skuad kebangsaan.

“Kita pernah mencuba nama besar jurulatih luar negara tapi hasilnya tidak memberangsangkan.

“Hadirnya Cheng Hoe sebagai jurulatih tempatan yang tahu selok-belok perkembangan dan prestasi terkini pemain dalam Liga Malaysia memudahkan beliau membentuk pasukan kebangsaan,” katanya.

FAM beri bayangan khidmat Tan Cheng Hoe mungkin akan disambung

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi, memberi bayangan positif mengenai kedudukan Cheng Hoe dan meramalkan beliau akan dikekalkan untuk menghadapi tugasan yang lebih besar tahun depan.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan akan memutuskan kedudukannya (Cheng Hoe) selepas ini. Mesyuarat itu dijangka diadakan pada awal Januari depan.

“Pihak jawatankuasa tetap akan menilai keseluruhan perlawanan dibawa Tan Cheng Hoe. Selain itu, kita akan membincangkan perkara yang perlu ditambah baik mengenai prestasi skuad kebangsaan.

“Bukan soal kontrak sambung atau tidak, paling penting adalah memperbaiki kelemahan pasukan kebangsaan,” katanya dalam Stadium Astro.

Leave a Reply