Ketua jurulatih Selangor, Satiananthan kemungkinan akan mengugurkan dua pemain import yang dilihat kurang menyerlah dan sering menjadi mangsa kritikan penyokong.
Selepas 11 perlawanan Liga Super, pemain pertahanan dari Vietnam, Michael Nguyen dilihat gagal mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan manakala Endrick Dos Santos sering mengalami kecederaan.
“Saya akan bercakap dengan pengurusan tentang import Selangor. Prestasi beberapa pemain di tahap membimbangkan, kita perlukan import yang jauh lebih berkualiti sebab sasaran kita adalah menang satu piala, satu sudah terlepas tinggal lagi dua iaitu Liga Super dan Piala Malaysia. Jadi perubahan perlu dibuat.
“Pemain yang cedera panjang pun kita akan bincang dengan mereka. Kalau cedera sampai 5-6 game tak main pun susah juga, ia tidak membantu pasukan dan satu kerugian apabila kita tidak dapat gunakan mereka. Saya akan bincang perkara ini dengan pemain berkenaan dan juga pengurusan,” katanya dalam Fox Sports.
Selangor dijangka akan mengekalkan khidmat Sandro Mendonca dan Taylor Regan manakala penyerang utama, Rufino Segovia dijamin kekal meskipun disisihkan sehingga bulan Julai kerana kecederaan serius.
Satiananthan juga membayangkan akan membawa masuk penyerang import baharu pada jendela perpindahan kedua bulan depan untuk bermain di posisi No. 9 berikutan masalah ketumpulan penyudah yang membelenggu pasukan itu.
“Saya percaya kalau Rufino ada kami boleh kekal dalam kelompok tiga teratas (Liga Super), tetapi, saya sudah berbincang dengan pengurusan bahawa saya perlukan seorang lagi penyerang.
“Saya tidak memiliki penyerang, saya selalu bergantung kepada Rufino dan Endrick (Dos Santos), tetapi mereka tidak dapat beraksi dan saya turunkan pemain lain yang perlu banyak belajar daripada kesilapan.
“Kami juga bergantung kepada Syazwan Zainon dan Syahmi Safari. Syahmi sendiri mempunyai tiga peluang, tetapi, kerana kurang pengalaman dia tidak berjaya menghasilkan jaringan,” katanya dalam utusan malaysia
Selangor kini berada di tangga ketiga Liga Super selepas mengutip 16 mata keseluruhan dalam 11 perlawanan dan tujuh mata di belakang Pahang yang akan turun menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), malam ini.