“Mentaliti juara !”
Itulah mentaliti yang ingin diterapkan oleh ketua jurulatih baharu Selangor, B. Satiananthan kepada para pemainnya bagi menghadapi saingan yang lebih sengit dalam Liga Malaysia musim depan.
Beliau yang membantu FELDA United muncul sebagai juara Liga Premier musim ini menyasarkan untuk membawa Selangor menjulang tiga piala musim depan.
Menurut Satia, impian untuk meraih kejuaraan dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia bukanlah perkara yang mustahil jika para pemainnya yakin dengan kemampuan diri dan memiliki semangat juang yang tinggi.
“Kalau boleh saya mahu semua (kejuaraan). Saya ingatkan pemain dan selalu ingatkan diri saya bahawa saya mahu menang kesemuanya.
“Ini semua adalah mentaliti kita. Kalau mentaliti kita cukup kuat dan yakin dengan kebolehan kita ditambah dengan motivasi dan gambaran jelas kepada pemain, tiada apa yang mustahil….kita boleh pergi jauh,” katanya seperti dipetik dalam Sinar Harian.
Satia puji usaha FAS menyediakan kemudahan terbaik
Sementara itu, usaha Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menyediakan fasiliti kemudahan latihan yang terbaik untuk pasukan mereka mendapat pujian daripada Satiananthan.
Satia berkata FAS melakukan perkara yang betul dalam usaha untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan skuad Gergasi Merah itu.
“Untuk memajukan Selangor dan kembalikan aura Selangor kita kena betulkan dari segi kemudahan di mana saya amat gembira kerana pihak pengurusan telah melakukan satu perkara yang positif dari segi kemudahan.
“Saya harap ini akan mengubah mentaliti pemain untuk berlatih bersungguh-sungguh dan dengan kemudahan yang telah disediakan, saya tidak lagi boleh berikan alasan dan kita kena capai matlamat diletakkan oleh pengurusan,” katanya.
Beberapa hari lalu, Selangor mengumumkan kemasukan bekas tonggak Terengganu FC (TFC), Faiz Nasir sebagai pemain baharu. Faiz yang membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia 2018 adalah bukti komitmen FAS untuk menambahkan ketajaman bahagian serangan pasukan Selangor bagi menjulang kejuaraan pada musim 2019.
Dilihat sebagai antara pemain muda yang berkualiti, kehadiran Faiz sudah tentu dapat membantu pasukan baharunya itu menjulang trofi pada musim depan.
Selain Faiz, beberapa pemain baharu yang akan memperkasa skuad The Red Giants bermula musim hadapan termasuklah Abdul Latiff Suhaimi, Syazwan Zainon, Norhakim Isa, K Prakabaran dan juga Halim Saari.
Sebelum menandatangani kontrak bersama Selangor, pemain itu dikaitkan untuk menyertai satu lagi pasukan Liga Super iaitu Melaka United (MU).