Tiga kemenangan berturut-turut Selangor dalam saingan Liga Super Malaysia (MSL) 2019 terhenti apabila mereka diikat 1-1 oleh musuh tradisi, Perak di Stadium Shah Alam pada Jumaat.
Walaubagaimanapun, ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan tampak berpuas hati dengan keputusan yang diraih anak buahnya yang beraksi lebih 30 minit dengan 10 pemain selepas pemain tengah, Nurridzuan Abu Hassan diperintah keluar padang.
“Di babak kedua, lebih kurang 35 minit, kita bermain dengan 10 pemain dan ia bukan mudah. Bukan mudah dengan (menentang) pasukan yang berpengalaman dan sebagainya.
“Tetapi kita pun ada peluang ketika bermain dengan 10 pemain,” ujarnya dalam sesi post-match reaction di iflix.
Nurridzuan dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah selepas didapati mengasari Wander Luiz pada minit ke-57.
Ketika itu kedua-dua pasukan terikat dengan jaringan 1-1 dan mujur buat tuan rumah, The Red Giants apabila The Bos Gaurus gagal memanfaatkan peluang yang mereka dapati itu.
Sathia menjelaskan yang ia tidak menghairankannya kerana mereka terpaksa bermain dengan 10 pemain dan sudah pasti perkara utama buat mereka adalah untuk lebih bertahan.
“Tetapi saya tidak hairan kalau kita tidak jaringkan gol kerana kita kita kena bertahan. Dan kita bertahan dengan baik,” jelasnya.
“Keseluruhannya, saya tidak boleh salahkan pemain saya kerana kita menguasai perlawanan di babak pertama dengan 11 pemain.
“Dan dengan ramai yang mengalami kecederaan dan sebagainya, pemain-pemain telah menunjukkan prestasi yang baik di babak pertama di mana kita cipta banyak peluang,” tambahnya lagi.
Sathia juga mengharapkan yang beberapa pemainnya yang ketika ini sedang mengalami kecederaan agar pulih segera untuk membantu pasukan terutamanya ketika menentang Felda United.
“Felda pun bukan senang. Pasukan yang memiliki pertahanan yang kuat dan serangan balas yang berbisa. Jadi, kita kena jaga sikit.
“Saya tengok dengan keadaan kesihatan pemain yang cedera dan sebagainya, saya harap pemain-pemain yang cedera akan kembali macam Endrick (dos Santos), Syazwan (Zainon) untuk menguatkan pasukan,” tambahnya lagi mengenai aksi seterusnya.
Dalam perlawanan Jumaat lalu, Sandro berjaya meledak gol penyamaan buat Selangor – gol peribadi keduanya, selepas Perak berjaya mendahului perlawanan menerusi gol Nor Hakim Hassan untuk kedua-dua pasukan membawa pulang satu mata.