Walaupun Felda United berjaya mencatat kemenangan besar 5-2 ke atas Felcra FC di Stadium Shah Alam dalam saingan pusingan kedua Piala FA 2018 namun begitu, pengendali skuad itu, B. Sathianathan enggan letak harapan tinggi dalam kejohanan ini.
Bercakap kepada Sinar Harian, beliau belum pasti nasib skuad The Fighters di pusingan ketiga dan pasukan mana akan ditentang mereka.
“Jujur saya lega kami berjaya lepasi pusingan kedua tapi itu tidak bermakna nasib kami akan sama pada perlawanan akan datang.
“Lagipun lawan Felda di pusingan ketiga belum tahu, kalau undian menentukan kita bertemu pasukan gergasi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah memang agak sukar.
“Jadi saya belum pasti sejauh mana kita mampu pergi cuma apa yang saya boleh cakapkan kita akan cuba sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita.
Felda mencatat kemenangan menerusi jaringan pemain import dari Brazil, Tiago Fernandes pada minit ke-45 dan 64.
Turut menjaringkan gol buat Felda ialah Shukor Adan pada minit ke-71, Hadin Azman (minit ke-83) dan Gilberto Fortunato pada minit ke-93, manakala gol Felcra disumbangkan dua pemain import, Endrick Dos Santos Parafita (minit ke-23) dan Anselmo Arruda Da Silva (minit ke-74).
Mengulas keseluruhan skuad The Fighters pada perlawanan kedua Piala FA itu, Sathianathan bangga dengan kebangkitan yang dipamerkan pemainnya walaupun ketinggalan pada awal permainan.
“Sebelum perlawanan saya ada pesan kepada pemain ini bukan pertemuan mudah dan Felcra membuktikan mereka memiliki pemain berkaliber sehingga memberi kesukaran kepada kita.
“Apa pun nasib memihak kepada kita dan kita berjaya menyumbat lima gol. Ini bukan perlawanan yang bagus tapi yang penting kita menang dan mara ke pusingan ketiga,” jelasnya lagi.