Quantcast

BERITA

Sathianathan Lihat Peluang Sama Rata, Tiada Pasukan Berstatus Pilihan Di Piala Malaysia

“Jangan fikir pasal final terlebih dahulu dan fokus kepada aksi peringkat kumpulan dulu. Bukan senang berdepan tiga pasukan ini,” demikianlah reaksi Ketua Jurulatih Selangor, B. Sathianathan ketika ramai menganggap pasukan kendalian beliau memiliki laluan mudah untuk ke pusingan kalah mati petandingan Piala Malaysia musim ini.

Dalam undian yang diadakan semalam, Selangor diundi untuk berada dalam Kumpulan D bersama-sama Felda United, Melaka dan juga PDRM FA.

Walaupun pernah mencatatkan kemenangan menentang Felda United dan Melaka United pada musim ini, Sathianathan tetap tidak mahu cabaran ketiga-tiga pasukan termasuk dari PDRM dipandang rendah oleh pasukannya.

Sumber: MFL

“Untuk Selangor, kita akan cuba yang terbaik. Kita sudah capai sasaran berada dalam kelompok empat pasukan teratas Liga Super, jadi tumpuan kita sekarang adalah Piala Malaysia, dan kita akan memberi fokus pada perlawanan demi perlawanan,” ujar beliau kepada wartawan seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.

Apa yang dikatakan oleh Sathianathan ada asasnya. Finalis Piala FA Kedah misalnya, merekodkan kekalahan 5-1 kepada Felda United yang berada di kelompok bawahan Liga Super pada hujung minggu lalu. Ia indikasi jelas bahawa dalam saingan dan pertandingan di Liga Malaysia, apa pun boleh berlaku. Apatah lagi pertandingan seperti Piala Malaysia.

Hadin

Hadin Azman meraikan jaringnya ketika terikat 1-1 menentang Selangor. (Foto: Felda United FC)

Selangor sendiri melalui kesukaran apabila disingkirkan oleh Felda United di pertandingan Piala FA pada April lalu. Manakala menentang Melaka United, skuad Red Giants memerlukan jaringan Sean Selvaraj pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan di Stadium Hang Jebat, juga pada April.

Kapten Melaka United, Shukor Adan turut senada dengan jurulatih berpengalaman itu.

“Kita kena lupakan apa berlaku dalam Liga Super sebelum ini kerana dalam Piala Malaysia, siapa yang mempamerkan aksi terbaik, pasukan berkenaan akan mara ke peringkat suku akhir,” jelas pemain veteran berusia 39 tahun itu yang pernah beraksi bersama Felda United dan Selangor sebelum ini.

Saingan Piala Malaysia bakal bermula pada awal Ogos dan perlawanan akhir dijangka akan berlangsung pada November ini.