Baru-baru ini, badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL) mengumumkan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dibuka hari ini hingga 3 Jun depan.
Laporan akhbar Berita Harian kelmarin menyatakan kebanyakan pasukan Liga M akan berdepan risiko besar jika berhasrat menukar pemain import pada pertengahan musim ini.
Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, berkata kepada Berita Harian, berpendapat lebih baik setiap pasukan mendapatkan pemain import yang sudah biasa atau mempunyai pengalaman bermain dalam Liga M.
“Kalau jumpa pemain yang lebih baik daripada yang sedia ada, mungkin boleh minta pengurusan tukar. Tapi bimbang juga kalau pemain baru itu tidak boleh memberikan apa yang kita mahu selepas mengikat kontrak.
“Bagi mengambil pemain import, kita perlukan masa untuk tahu sama ada dia bagus atau tidak. Ada pemain ketika latihan bagus, tapi apabila perlawanan sebenar, tidak menjadi.
“Jadi saya sendiri bimbang. Jalan terbaik mungkin kita boleh ambil pemain yang kita sendiri sudah kenal atau dia sudah biasa dengan Liga M seperti Marlon Alex James dan Juan Manuel Arostegui, tapi mereka sudah tua,” katanya.
Pasukan Kedah dikhabarkan bakal membawa masuk penyerang yang pernah bermain dalam saingan Liga Malaysia pada jendela perpindahan kedua kali ini. Sumber mengatakan pemain itu adalah bekas pemain Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Paulo Rangel.
Pahang mungkin contoh yang terbaik apabila mereka mengambil penyerang import yang pernah bermain untuk T-Team FC, Patrick Cruz. Ternyata ia membuahkan hasil apabila Patrick berjaya menjaringkan 6 gol setakat ini.
Berdasarkan laporan dalam Berita Harian, seorang ejen pemain Effendi Jagan Abdullah berkata semua pasuka perlu bersedia berdepan risiko dari segi kos kewangan jika pemain import itu mempamerkan prestasi yang tidak diharapkan.
“Benar apa yang dikatakan ejen pemain itu. Memang susah (nak tukar import di tengah musim), tapi kalau terpaksa kita kena tukar juga terutama mereka yang berdepan masalah disiplin.
“Apapun kita perlu berhati-hati, takut tersalah pilih mungkin kita mendapat yang lebih teruk daripada pemain lama. Perkara paling penting jurulatih perlu berbincang dengan pihak pengurusan dulu,” kata Sathia.