Pengendali pasukan Selangor B. Sathianathan menyatakan beliau tidak mahu pasukannya berputih mata sekali lagi dalam usaha mereka mencari kemenangan pertama musim ini – dalam kancah saingan Liga Super.
Selangor gagal mencatatkan kemenangan dalam dua aksi pertama mereka setakat ini. Selangor hanya mengutip 2 mata dan dibezakan 5 mata daripada pendahulu. Jika Selangor mahu mencabar kejuaraan liga, sudah pastinya mereka perlu menang pada aksi malam ini.
B. Sathianathan juga berharap anak-anak buah beliau terutamanya para pemain baharu bermain seperti biasa dan tidak terlalu takut untuk melakukan kesilapan.
Selangor akan berhadapan PKNS FC dalam aksi derbi – perlawanan akan dilangsungkan di Stadium Shah Alam. Sathianathan sedar akan kualiti PKNS yang dibimbing oleh Datuk K. Rajagobal.
Menurut Sathianathan, pasukan PKNS juga membariskan ramai pemain lama sedangkan Selangor dalam proses membentuk pasukan di antara pemain baharu dan lama.
B. Sathianathan juga menggariskan isu penyudah di hadapan gol sebagai perkara yang perlu diperbaiki oleh Selangor.
Sathianathan menyatakan pasukannya memiliki sumber kreativiti yang cukup baik, dan mereka perlu memanfaatkan perkara itu. Beliau berkata: “Sebelum ini kita mencipta peluang gol namun gagal menterjemahkannya ke dalam bentuk jaringan.”
Adakah Selangor akan mampu mencipta kemenangan sulung mereka pada musim ini berhadapan dengan PKNS FC?