Chelsea kembali mengecap nikmat kemenangan dilaman sendiri apabila berjaya menewaskan Brighton & Hove Albion 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Kemenangan tersebut menjadi suntikan moral terbaik buat skuad bimbingan Maurizio Sarri dalam misi mengejar kedudukan empat pasukan terbaik EPL.
Persaingan memburu tempat ketiga dan keempat masih terbuka buat Tottenham Hotpurs, Arsenal, Chelsea dan Manchester United.
Chelsea yang kini menduduki tempat kelima berkongsi 63 mata bersama Arsenal. Namun Arsenal memiliki kelebihan satu perlawanan berbanding Chelsea pada ketika ini. Chelsea juga hanya dibezakan dengan jurang satu mata oleh Spurs yang berada ditempat ketiga dengan kutipan 64 mata.
Terima kasih penyokong
Sebelum ini Sarri seperti berdepan situasi getir apabila penyokong mulai hilang kepercayaan terhadapnya untuk memegang jawatan pengurus pasukan.
Sebelum perlawanan bertemu Brighton, Sarri merayu penyokong kembali memberikan kepercayaan kepadanya dan berharap mereka membantu beliau menyemarakkan semangat pemain untuk memburu kemenangan di Stamford Bridge.
Apa yang diharapkan pengendali dari Itali itu menjadi kenyataan apabila penyokong hadir memberikan sorakan padu dan mengamatkan stadium.
“Suasana di Stamford Bridge luar biasa hari ini [semalam]. Penyokong membantu pemain selama 90 minit. Memang lebih mudah ketika anda menang 3-0, tetapi suasana ini amat luar biasa.”
“Dan kami harus berterima kasih kepada penyokong untuk ini,” kata Sarri.
Tidak mudah
Walaupun berjaya mencatatkan kemenangan bergaya, Sarri tetap menganggap perlawanan tersebut tidak akan menjadi mudah jika pasukan gagal bermain dengan baik.
Beliau dipetik sebagai berkata, “Perlawanan ini [lawan Brighton] tidak mudah. Kami bermain sangat baik dan pada akhirnya dilihat menjadi mudah, tetapi kami memang layak untuk menjadi pemenang.”
“Kami berhak untuk menang 3-0 kerana kami bermain bola sepak yang sangat bagus dengan tahap keyakinan yang tinggi, selama 75 minit. Kami agak longgar pada 15 minit terakhir, tetapi kami layak menang.”