Sumber Gianluca Di Marzio di Itali melaporkan bahawa Chelsea dalam usaha untuk membawa Gonzalo Higuain ke Stamford Bridge. Higuain kini dalam tempoh pinjaman di AC Milan dari Juventus.
Pengarah Chelsea – Marina Granovskaia – yang bertanggungjwab dalam perpindahan pemain dilaporkan sedang mempertimbangkan permintaan daripada Maurizzio Sarri berkenaan dengan perkara tersebut.
Laporan oleh Sky Sport pula menyatakan, Chelsea mahu menyertakan Alvaro Morata dalam perjanjian itu untuk membolehkan Milan melepaskan Gonzalo Higuain ke Chelsea. Sekaligus tidak membayar opsyen perjanjian tetap yang ada dalam klausa pinjaman Higuain.
Maurizzio Sarri dikatakan tidak nampak Alvaro Morata bakal menjadi penggempur prolifik di dalam sistem beliau. Dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, Chelsea kerap menggunakan Hazard sebagai false 9.
Sarri memiliki hubungan yang baik dengan Higuain. Media di Itali menganggap hubungan Sarri dan Higuain sebagai istimewa. Higuain antara penyerang yang memahami kehendak taktikal Maurizzio Sarri.
Namun perjanjian ini agak rumit kerana pemilik kepada Higuain adalah Juventus. Adakah Juventus akan menambahkan harga yang jauh lebih tinggi kepada Chelsea? Dan mungkin juga Juventus tidak suka dengan perjanjian yang menggunakan pemain mereka – membolehkan Milan mendapat Alvaro Morata.
Higuain menyertai AC Milan secara pinjaman sebagai salah satu syarat perjanjian untuk Juventus mendapatkan semula Leonardo Bonucci.
Gianluca Di Marzio melaporkan buat masa ini, segalanya masih di fasa penilaian oleh pihak Chelsea. Chelsea dijangka akan membawa masuk beberapa pemain pada Januari ini. Pada masa yang sama mereka turut dikaitkan dengan Cengiz Under.