Adakah masa kini sudah semakin suntuk buat Maurizio Sarri?
Skuad kendaliannya tumbang kepada Bournemouth dengan jaringan memalukan iaitu 4-0 di laman lawan.
Menurut laman The Guardian, Sarri mengakui beliau tidak mempunyai keupayaan yang cukup untuk memotivasikan pasukannya itu dalam usaha mendapatkan kemenangan.
Pada beliau, pasukannya itu punya kualiti yang cukup untuk bersaing walaupun tiada jurulatih yang membimbing mereka sekali pun.
“Mungkin ia kesalahan saya, mungkin sebabkan saya tak mampu nak motivasikan para pemain saya.”
“Tapi pasukan saya ini cukup kuat, mereka boleh menang tanpa ada jurulatih pun.”
Sarri berpendapat ketika ini merupakan satu tempoh yang cukup mengecewakan beliau.
Malah beliau tidak berasa di bawah tekanan sekali pun tumbang dengan 4 gol.
“Saya rasa kecewa, bukan tertekan.”
“Saya mahu mengerti, oleh itulah saya bercakap dengan para pemain selepas perlawanan tetapi sukar untuk mereka meluahkan apa sebabnya.”
Sarri dikatakan mengunci dirinya bersama para pemain di dalam bilik persalinan selepas tumbang 4-0 tanpa ada kehadiran pembantu beliau.
“Saya ingin cakap dengan mereka sendiri tanpa ada orang lain pun.”
“Mustahil untuk bermain dengan dua cara yang berbeza pada separuh masa pertama dan kedua. Saya pun tak faham dan saya tak tahu.”
Kekalahan Chelsea di tangan Bournemouth itu membuatkan mereka terkeluar dari kelompok 4 teratas liga.
Keputusan tersebut merupakan kekalahan terburuk Chelsea pada era Roman Abramovich.