Pengendali sementara Real Madrid yang baru sahaja dilantik, Santiago Solari menyifatkan tiada siapa yang dapat dibandingkan dengan pengurus yang membawa kemasyhuran buat Los Blancos, Zinedine Zidane.
Solari yang juga merupakan bekas pemain Real Madrid dan pernah beraksi bersama Zidane telah dilantik sebagai pengendali sementara bagi menggantikan Julen Lopetegui yang dilihat gagal untuk membawa kelab terkenal dunia itu menampilkan aksi terbaik.
Real Madrid kini terperosok ke tangga ke-9 saingan La Liga selepas mengharungi 10 perlawanan setakat ini.
Walaupun mempunyai persamaan seperti Zidane apabila mereka dinaikkan pangkat dari membimbing Real Madrid Castilla (pasukan remaja) ke skuad utama, Solari nyata menolak perbandingan diberikan buatnya terhadap bekas rakan sepasukannya itu.
”Biarkan dia (Zinedine Zidane) hidup dengan aman damai, dia merupakan salah seorang ikon yang terhebat buat Real Madrid.”
”Tidak banyak perkataan yang boleh digambarkan mengenai Zizou, mari kita membiarkan dia dengan kehebatannya dan tidak membandingkan kami.”
”Tiada sesiapa yang boleh dibandingkan dengannya.”
Kenangan yang sudah pasti tidak dapat dilupakan mengenai Zidane adalah beliau berjaya menghadiahkan tiga trofi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah berturut-turut sebelum meletakkan jawatan pada Mei lalu.
Tugasan pertama Santiago Solari bersama Real Madrid adalah dalam saingan Copa Del Rey bertemu Melila dan kemenangan begitu ditagih untuk memberikan permulaan yang baik buat pengendali sementara kelahiran Argentina ini.