- Malaysia dan Thailand layak ke pentas akhir selepas merekodkan kemenangan tipis 1-0 ke atas lawan masing-masing di separuh akhir.
- Malaysia dan Thailand telah dipaksa lawan masing-masing sehingga ke penghujung perlawanan sebelum berjaya memperolehi jaringan kemenangan.
- Ini merupakan pertembungan ketiga kedua-dua pasukan sepanjang tahun ini.
Kini kemuncaknya telah tiba. Skuad Sukan SEA kendalian Datuk Ong Kim Swee akan membuat perhitungan terakhir menentang Thailand untuk merebut ibu segala pingat dalam aksi final Sukan SEA 2017, malam ini.
Thailand turun dengan penuh keyakinan mampu menumbangkan Sang Harimau. Bagi mereka, Vietnam dan Indonesia adalah pencabar dan lawan terkuat mereka dalam temasya Sukan SEA kali ini.
Sementara itu, untuk Malaysia, Sang Gajah adalah tembok terakhir yang perlu ditembusi untuk mengembalikan pingat emas Sukan SEA ke bumi Malaysia selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2011.
Sebelum Sepak Mula
Thailand telah melakukan persiapan rapi dalam misi mempertahankan pingat emas yang telah dimenangi pada edisi lalu di Kota Singa. Persediaan telah dilakukan oleh mereka hampir setahun yang lalu.
Selain itu, mereka juga ingin merekodkan hatrik kejuaraan selepas menjuarainya dua kali bermula pada edisi 2013 di Myanmar. Mereka hanya gagal meraih emas pada dua edisi Sukan SEA iaitu 2009 (Laos) dan 2011 (Indonesia).
Nada keyakinan sudah dilaungkan oleh pengurus dan jurulatih Thailand sebelum bermulanya Sukan SEA lagi bahawa mereka akan mempertahankan pingat emas untuk edisi kali ini. Tiada kompromi!
Bagi skuad negara, persiapan awal juga sudah dilakukan bermula dengan Projek Sukan SEA kendalian Frank Bernhardt pada penghujung 2015 sebelum diambil alih Kim Swee bermula bermula Mei 2017.
Malaysia meletakkan sasaran untuk ke final dalam temasya kali ini dan ianya sudah dicapai. Ujar pengurus pasukan, Datuk Wira Yusoff Mahadi, sebagai tuan rumah ianya adalah satu kekecewaan sekiranya gagal layak ke perlawanan akhir.
Kedua-dua pasukan telah bertembung dua kali dalam tahun ini dengan kedua-dua perlawanan tidak memihak kepada Malaysia. Dalam aksi Piala Dubai, Mac lalu, Malaysia tumpas 0-4 dan kemudian tumbang 0-3 dalam aksi kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok, bulan lalu.
Apa yang pasti, tiada penggantungan pemain yang perlu dibimbangi oleh kedua-dua ketua jurulatih. Hanya kem Thailand ketika ini bebas daripada kecederaan, sementara itu Kim Swee pula hampir pasti akan kehilangan sentuhan penyerang, S. Kumaahran, yang mengalami kecederaan dalam aksi separuh akhir.
Malaysia perlu berhati-hati dengan kapten dan penyerang lawan iaitu Chenrop Samphaodi. Beliau sudah merekodkan dua gol ketika menentang Malaysia tahun ini dan telah menyumbang dua gol dalam temasya Sukan SEA kali ini.
Sang Harimau pasti tidak mahu sejarah edisi 2001 berulang. Selaku tuan rumah pada edisi tersebut, Malaysia tumbang 0-1 kepada Thailand dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Pemain Tumpuan
Pastinya poacher sensasi, N. Thanabalan akan menjadi tumpuan untuk aksi final malam ini. Sudah menjaringkan empat gol setakat ini, beliau merupakan antara penjaring terbanyak temasya bersama-sama Aung Thu (Myanmar) dan Nguyen Cong Phuong (Vietnam).
Sehingga kini, beliau sudah mengumpul sepuluh gol bersama skuad B-22 kebangsaan. Thanabalan sememangnya tidak memiliki skil gelecekan ataupun kawalan bola yang baik, namun nilai tambah yang ada padanya adalah sentuhan akhir di dalam kawasan penalti lawan.
Thanabalan bijak dan rajin mencari ruang serta peluang untuk menjaringkan gol. Beliau sentiasa ada di tempat dan masa yang tepat untuk menjaringkan gol. Disebabkan itu beliau sentiasa menjadi pilihan utama Kim Swee untuk berada dalam kesebelasan utama.
Untuk aksi Piala FAM pula, Thanabalan sudah menyumbang empat gol untuk Felcra FC yang telah layak ke pusingan kalah mati kejohanan.
Taktikal
Secara umumnya Kim Swee dilihat menggunakan formasi 3-4-3 untuk skuad Sukan SEA kali ini. Tunjang utama di benteng pertahanan adalah Irfan Zakaria, Adam Nor Azlin dan kapten, Adib Zainuddin yang membentuk tiga pertahanan tengah.
Ketika bertahan, dua pemain yang beraksi sebagai wingback di kanan dan kiri lazimnya Matthew Davies dan Syazwan Andik akan turun memberikan bantuan membentuk rangkaian lima pertahanan.
Di tengah, Kim Swee gemar meletakkan gandingan Nor Azam Azih dan Syamer Kutty Abba. Mereka saling melengkapi antara satu sama lain. Di saat Syamer tenang mengawal jentera tengah, Azam akan menggerakkan jentera tengah untuk menyerang.
Rangkaian tiga serangan di hadapan sudah menjadi kelaziman Kim Swee dalam Sukan SEA kali ini. Dengan kemungkinan ketiadaan S. Kumaahran, Kim Swee dijangka bakal meletakkan kepercayaannya kepada N. Thanabalan, Safawi Rasid dan Jafri Firdaus Chew.
Lakukan dengan betul, formasi ini adalah sentuhan bijak jika dilakukan dengan salah, ia boleh membunuh pasukan.
Rekod Pertemuan Di Sukan SEA
Rekod dari edisi 2001, di mana temasya Sukan SEA mula mengehadkan penyertaan kepada pasukan B-23. Dalam lima pertembungan, Malaysia merekodkan dua kemenangan dan tewas tiga kali kepada Thailand.
- Sukan SEA 2001: Malaysia 0-1 Thailand (Perlawanan Akhir)
- Sukan SEA 2005: Malaysia 1-2 Thailand (Peringkat Kumpulan)
- Sukan SEA 2009: Malaysia 2-1 Thailand (Peringkat Kumpulan)
- Sukan SEA 2011: Malaysia 2-1 Thailand (Peringkat Kumpulan)
- Sukan SEA 2015: Malaysia 0-1 Thailand (Peringkat Kumpulan)
Rekod Semasa
Keputusan Malaysia sepanjang Sukan SEA 2017:
- 14 Ogos: Malaysia 2-1 Brunei (Kumpulan A)
- 16 Ogos: Malaysia 2-1 Singapura (Kumpulan A)
- 21 Ogos: Malaysia 3-1 Myanmar (Kumpulan A)
- 23 Ogos: Malaysia 3-1 Laos (Kumpulan A)
- 26 Ogos: Malaysia 1-0 Indonesia (Separuh Akhir)
Keputusan Thailand sepanjang Sukan SEA 2017:
- 15 Ogos: Thailand 1-1 Indonesia (Kumpulan B)
- 17 Ogos: Thailand 1-0 Timor Leste (Kumpulan B)
- 20 Ogos: Thailand 3-0 Kemboja (Kumpulan B)
- 22 Ogos: Thailand 2-0 Filipina (Kumpulan B)
- 24 Ogos: Thailand 3-0 Vietnam (Kumpulan B)
- 26 Ogos: Thailand 1-0 Myanmar (Separuh Akhir)
Ramalan Rakan Media
Malaysia 1-0 Thailand / Malaysia 2-1 Thailand (Zulhilmi Zainal, Goal.com)
Malaysia 2-0 Thailand (Man, Football Tribe)
Malaysia 2-1 Thailand (Mohamad Asyraaf, Gawang.my)
Malaysia 2-1 Thailand (Keeshaanan Sundaresan, Stadium.MY)
Ramalan Semuanya BOLA
Pertembungan dijangkakan sengit walaupun Thailand sudah dua kali merekodkan kemenangan dengan keputusan yang selesa ke atas Malaysia, tahun ini. Pastinya Sang Harimau mahu gah mengaum di halaman sendiri.
Perlawanan mungkin akan berlanjutan sehingga ke masa tambahan, namun, Malaysia dijangka bakal memenangi perlawanan dengan margin yang kecil. Kim Swee perlu mencari solusi untuk merobek gawang lawan.
Jika Sang Garuda yang memiliki benteng kukuh pun sudah berjaya ditembusi, pastinya Sang Gajah juga boleh ditumbangkan!
Ramalan: Malaysia 2-1 Thailand