Pemain warisan baharu yang paling ditunggu-tunggu oleh penyokong Indonesia iaitu Sandy Walsh akhirnya telah pun tiba dalam sesi latihan bersama para pemain lain untuk persiapan Piala AFF 2022.
Sandy menjadi antara tonggak baharu yang bakal memperkuatkan skuad kendalian Shin Tae-yong bersama Jordi Amat setelah proses mendaftarkan kedua pemain ini selesai beberapa minggu lalu.
Kelibat pemain ini dikesan oleh laman sukan Indonesia iaitu Bola.com ketika akaun Instagram Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memuatnaik satu video sesi latihan yang turut menampilkan Sandy bersama rakan sepasukan lain.
Selain Sandy, beberapa lagi tonggak utama Indonesia turut dilihat seperti Nadeo Argawinata, Muhammad Rafly, Pratama Arhan, Saddil Ramdani, Rizky Ridho, serta beberapa pemain lagi.
Dalam senarai 28 pemain yang dipanggil untuk sesi kem latihan pusat, beberapa daripadanya kini beraksi di luar negara selain Sandy.
Mereka adalah Egy Maulana Vikri, Witan Sulaeman, Elkan Baggott, Pratama Arhan, Asnawi Mangkualam, Saddil Ramdani, serta Jordi Amat.
Seorang lagi pemain warisan baharu mereka iaitu Jordi Amat dijangka akan menyertai kem latihan pusat tersebut tidak lama lagi untuk memperkukuhkan jentera pertahanan.
Jordi dikhabarkan bakal tiba sedikit lewat kerana pasukan diwakilinya iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) baru sahaja selesai menjalani aksi persahabatan bersama Borussia Dortmund.
Dalam aksi tersebut Jordi disenaraikan dalam kesebelasan utama dan tampil menyakinkan untuk bergandingan bersama Shahrul Saad dan Feroz Baharudin.
Adakah Sandy boleh beraksi bersama Indonesia?
Ya, pemain ini sudah pun diluluskan oleh FIFA semalam mengenai status perpindahan sebelum itu dan surat pengesahan telah pun sampai kepada pihak PSSI.
Namun, untuk melihat pemain ini beraksi dalam saingan Piala AFF akan datang ianya masih belum dapat dipastikan lagi untuk Sandy bersama Indonesia.
Ini kerana, Sandy berkemungkinan tidak akan dilepaskan kelabnya iaitu KV Mechelen yang beraksi dalam saingan Belgian Pro League kerana saingan liga kini masih lagi berlangsung.
Piala AFF bakal membuka tirai perlawanan pada 20 Disember ini sehingga awal Januari tahun 2023 dan ketika itu KV Mechelen masih lagi menghadapi aksi liga.
Selain Sandy, seorang lagi pemain berkemungkinan tidak dapat beraksi bersama Indonesia ialah Elkan Baggott yang kini sedang beraksi selaku salah satu tonggak penting bersama Gillingham FC di England.