Pemain import Kedah, Sandro da Silva memberikan bayangan yang musim ini mungkin musim terakhirnya beraksi di Liga Malaysia khususnya bersama skuad Helang Merah.
Dipetik berkata kepada Berita Harian, Sandro menyatakan yang dia ada mendengar yang pihak pengurusan tidak berhasrat untuk menyambung kontraknya pada musim hadapan.
“Saya dapat rasakan ini adalah musim terakhir bersama Kedah,” ujar pemain berusia 34 tahun itu yang telah 4 tahun menyarung jersi Hijau Kuning bermula dari musim 2015.
“Malah, saya sudah mendengar daripada ‘orang dalam’ (Persatuan Bolasepak Kedah) sendiri bahawa mereka tidak akan menyambung kontrak saya apabila ia berakhir hujung November ini.
“Sebagai pemain profesional, saya menerima apa sahaja keputusan dengan tangan terbuka. Jika setakat ini sahaja jodoh saya bersama mereka, saya akur,” ujar Sandro lagi.
Oleh itu, sebelum mengangkat kaki meninggalkan Kedah, Sandro amat berharap dapat meraih satu lagi kejuaraan iaitu Piala Malaysia sebagai hadiah perpisahannya.
“Tapi, sebelum meninggalkan pasukan itu, saya mahu pergi dengan kejayaan bagi membalas jasa persatuan serta hadiah terakhir untuk penyokong yang memberi sokongan tidak berbelah-bahagi selama saya di sini.
“Piala FA sudah terlepas dan impian untuk menjuarai Liga Super juga turut berkubur, yang tinggal kini hanya Piala Malaysia. Saya harap kami dapat menjuarainya,” jelasnya.
Sebelum liga berakhir, Kedah melalui satu fasa yang suram dengan rekod lima perlawanan tanpa kemenangan dan ianya bermula dengan kekalahan besar 1-4 kepada Melaka United.
Musim ini juga menyaksikan Kedah merekodkan jumlah bolos yang agak besar iaitu 36 gol, bertambah 3 gol dari musim lalu dan bertambah 10 gol berbanding pada musim 2016.
“Ia adalah musim yang sukar untuk Kedah tahun ini. Sejak awal, segala-galanya tidak berjalan lancar menyebabkan prestasi kami terumbang-ambing dan tidak konsisten.
“Banyak masalah berlaku dalam pasukan ini yang tidak boleh saya dedahkan. Namun, saya boleh simpulkan ia menyumbang kepada kegagalan kami dalam liga,” jelasnya lagi.
“Saya harap pemain memulakan langkah baru untuk menghadapi Piala Malaysia kerana kami sebenarnya mampu lakukan jika pemain masih dahagakan kejayaan, lebih fokus dan bermain dengan bersatu hati.
“Tapi, maaf cakap, jika sikap sama yang ditunjukkan sepanjang liga masih diulangi, Kedah boleh lupakan sahaja Piala Malaysia musim ini,” tegas pemain kelahiran Brazil itu.
Kedah akan menentang Kelantan dalam saingan Piala Malaysia pada Ahad ini. Selain Kelantan, Kedah turut diundi bersama JDT dan MIFA dalam Kumpulan C.
Foto: Kedah FA