Sandro ‘El Castigador’ Mendonca: Legenda Kedah Yang Kembali Sebagai Gergasi Merah

Empat tahun yang lalu, Sandro da Silva menjadi wira Lang Merah di depan 12,000 penonton apabila mencipta hatrik, sambil seorang lagi penyerang import, Chidi Edeh turut tampil dengan dua lagi jaringan untuk membantu Kedah menewaskan DRB Hicom 5-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan tersebut sekaligus mengesahkan Kedah selaku juara Liga Premier 2015 – sekaligus turut akan beraksi di saingan Liga Super Malaysia pada musim berikutnya.

Bagai cinta pandang pertama

Hubungan Sandro da Silva Mendonca bersama Kedah ibarat cinta pandang pertama.

Segala-galanya bermula pada 2014 apabila Tan Cheng Hoe mengambil alih jawatan Ketua Jurulatih Kedah dari David Mitchell, yang kemudiannya membawa masuk dua pemain import iaitu Sandro dan juga Liridon Krasniqi.

Sandro Mendonca dan Liridon Krasniqi antara pemain import yang dilepaskan Kedah FA.

Tatkala nama-nama lain seperti Tibor Szaban, Peter Nieketien, Andre Luis Nascimento, atau pun Marlon Alex James lebih diingati selaku pemain import era Sang Kenari, Liridon dan Sandro adalah generasi pertama legenda import yang dihasilkan era Lang Merah.

Liridon dan Sandro memiliki perwatakan yang berbeza. Jika ini adalah karya Barney Ronay dari akhbar terkenal The Guardian, atau pun Jonathan Wilson yang terkenal dengan buku berjudul Inverting The Pyramid: The History of Football Tactics – maka Liridon itu boleh disamakan seperti ‘The Devils’ (Sang Iblis) dan Sandro itu ibarat The Angel (Sang Malaikat).

Liridon Sandro
Foto: Muhammad Asyraf Sawal (NST)

Tetapi malaikat bukan sebarang malaikat. Sandro ibarat seperti ‘Malaikat Penghukum’.

Liridon adalah pemain yang memiliki perwatakan yang lebih menyerlah di dalam dan di luar padang. Anda boleh menggemari pemain ini, dan anda juga mungkin mempunyai alasan untuk membenci beliau. Manakala Sandro adalah seorang profesional yang memikat hati peminat dengan perwatakan profesional, di dalam dan di luar padang serta ramah dengan cara beliau tersendiri tanpa perlu mendabik dada – menjadikan beliau sebagai pemain kegemaran setiap lapisan penyokong Kedah.

Idola penyokong Lang Merah

Musim pertama bersama Kedah di saingan Liga Premier, Sandro tampil dalam 27 perlawanan di semua pertandingan, menjaringkan 17 gol untuk Kedah pada musim pertama bersama pasukan dari utara tanah air tersebut.

Musim tersebut ibarat permulaan kepada kebangkitan Kedah di landskap bola sepak Malaysia. Setelah membantu Kedah bergelar juara Liga Premier, Kedah turut berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia, namun dikecewakan oleh dua jaringan Hazwan Bakri yang memberi kemenangan 2-0 kepada Selangor.

Kredit: Utusan Online

Lapan daripada 17 jaringan Sandro pada musim tersebut dihasilkan di saingan Piala Malaysia – menjadikan beliau penjaring terbanyak dalam pertandingan tersebut pada musim 2015.

Saingan Liga Super

Berikutan kejayaan pada musim sebelumnya, Liridon dan Sandro terus dikekalkan untuk saingan pada musim berikutnya. Musim 2016 pengambilan pemain import khususnya di bahagian serangan sedikit bercelaru untuk skuad Kedah.

Setelah Chidi Edeh hanya kekal semusim pada 2015, Carlos Eduardo Kahe, Thiago Agusto Fernandes dan Shane Edward Smeltz adalah antara pemain serangan yang tiba silih berganti. Tiada diantara mereka yang kekal, namun Sandro tetap terus dikekalkan oleh pengurusan Kedah kerana masih memiliki kontrak.

Kredit: Sinar Online

Namun prestasi Sandro sendiri pada ketika itu turut bercelaru, selepas hanya berjaya menjaringkan tiga gol dari 12 penampilan pada musim tersebut. Prestasi merudum beliau pada musim 2016 sedikit sebanyak dipengaruhi oleh kecederaan yang datang silih berganti – termasuk kecederaan tulang belakang yang memaksa beliau mendapatkan rawatan di Brazil pada Mei 2016.

Musim tersebut Kedah menduduki tangga ketiga saingan Liga Super, namun berjaya muncul juara Piala Malaysia 2016 tanpa khidmat Sandro yang menjalani rawatan.

Kembali gegar

Musim 2017, Sandro kembali menyertai Kedah setelah pulih sepenuhnya dari kecederaan lalu. Pada ketika itu beliau dilaporkan memiliki kontrak sehingga 2018 bersama Lang Merah, dan pihak pengurusan turut masih mempercayai kebolehan pemain kelahiran Fortaleza, Brazil ini.

Musim 2017 juga menyaksikan Sandro mempunyai gandingan baharu di bahagian serangan apabila penyerang berasal dari Denmark, Ken Ilso dibawa masuk.

Kredit: Mstar Online

Pada ketika inilah, peranan taktikal Sandro mengalami perubahan. Jika pada musim 2015, Sandro adalah penyerang utama sebagai No.9, musim 2017 menyaksikan beliau diberikan peranan sebagai penyerang kedua. Ini untuk membenarkan Sandro lebih bebas menggunakan kreativiti dan kebolehan teknikal beliau dengan hantaran serta visi untuk memecah benteng pertahanan lawan.

Musim 2017 menyaksikan Sandro menjaringkan 18 gol – membantu Kedah menduduki tangga keempat, dan juara Piala FA. Dua jaringan di separuh akhir kedua menentang Felda United membawa Kedah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia untuk musim ketiga berturut-turut, namun dikecewakan oleh JDT di perlawanan akhir.

Sayonara Kedah

Musim 2018 mungkin adalah pengalaman yang paling Sandro mahu lupakan sejak beraksi di Liga Malaysia. Kedah dipalit beberapa kontroversi, turut menyaksikan pertukaran jurulatih sebanyak dua kali pada musim tersebut.

Musim tersebut juga merupakan musim terakhir kontrak beliau bersama Lang Merah. Walaupun sebelum musim berakhir, perkhabaran kontrak beliau bersaa Kedah tidak akan disambung semula sudah pun

“Saya dapat rasakan ini adalah musim terakhir bersama Kedah. Malah, saya sudah mendengar daripada ‘orang dalam’ (Persatuan Bolasepak Kedah) sendiri bahawa mereka tidak akan menyambung kontrak saya apabila ia berakhir hujung November ini.

“Sebagai pemain profesional, saya menerima apa sahaja keputusan dengan tangan terbuka. Jika setakat ini sahaja jodoh saya bersama mereka, saya akur,” ujar beliau ketika ditemuramah oleh Berita Harian satu ketika dahulu.

Mungkin membuatkan sedikit terkilan ialah kerana Sandro gagal merealisasikan niat terakhir beliau bersama Kedah.

“Tapi, sebelum meninggalkan pasukan itu, saya mahu pergi dengan kejayaan bagi membalas jasa persatuan serta hadiah terakhir untuk penyokong yang memberi sokongan tidak berbelah-bahagi selama saya di sini.

“Piala FA sudah terlepas dan impian untuk menjuarai Liga Super juga turut berkubur, yang tinggal kini hanya Piala Malaysia. Saya harap kami dapat menjuarainya,” kata Sandro.

Bagaimanapun saingan Kedah di saingan Piala Malaysia pada musim lalu terkubur seawal peringkat kumpulan apabila menduduki tangga tercorot Kumpulan C.

Kredit: Sukan Malaysia Online

Kelibat beliau ibarat Sang Pemusnah kepada lawan. Kebolehan beliau bukan hanya kerana kebijaksanan membaca permainan dan menggerakkan serangan. Kebolehan beliau melalui bola mati turut sering kali menghukum lawan – sebagaimana yang dilakukan oleh beliau pada musim ini bersama Selangor.

Adakalanya watak beliau seperti kelibat The Punisher di dalam filem lakonan Thomas Jane, arahan Jonathan Hensleigh yang diterbitkan pada 2004 – atau dalam Bahasa Sepanyol disebut El Castigador kerana kebolehan menghukum lawan dengan pelbagai cara.

Sandro kembali ke rumah

Musim 2019, Sandro kembali mewarnai saingan Liga Malaysia bersama Selangor. Pada malam ini, Sandro akan kembali ke Stadium Darul Aman sebagai pemain lawan. Ia pasti sesuatu yang sukar buat pemain ini – apatah lagi Kedah diibaratkan sebagai keluarga buat beliau.

Sandro bukan satu-satunya bekas pemain Kedah yang kembali menghantui pasukan itu bersama Selangor pada malam nanti. Halim Shaari, Syazwan Zainon juga merupakan dua pemain lain yang akan melakukan penampilan menentang bekas pasukan mereka.

Kredit: Instagram, Sandro Mendonca

Perasaan sayang itu mungkin hadir di hati Sandro. Namun sebagai pemain profesional, beliau faham apa yang perlu dilakukan di atas padang – demi majikan baru beliau – untuk Selangor FA.

Rumusan

Apakah reaksi penyokong Kedah pada malam ini? Adakah mereka akan menerima Sandro dengan hati terbuka?

Adakah penyokong akan tetap menghargai sumbangan pemain ini walaupun kini beliau sudah beraksi bersama Selangor?

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN