Alexis Sanchez ada kisah suka – dan ada kisah duka – dalam perlawanan ini. Cerita sukanya – beliau berjaya menemui sentuhan jaringan beliau di dalam perlawanan ini. Manakala kisah dukanya pula, beliau gagal menyempurnakan penalti yang boleh membantu Chile mengelak daripada kekalahan.
Chile berhadapan dengan pasukan Costa Rica dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di tempat mereka sendiri.
Chile menguasai sebahagian besar perlawanan ini dengan jumlah percubaan ke arah gol yang sangat banyak. Namun masalah utama mereka adalah banyak membazirkan peluang dan kemudiannya sangat rapuh di bahagian pertahanan.
Chile mengejar pasukan Costa Rica daripada kedudukan ketinggalan 3-0 dalam perlawanan yang dilangsungkan di hadapan penyokong mereka sendiri – di Estadio El Teniente.
Kendall Watson meletakkan Costa Rica 2 gol di hadapan pada minit ke-36 dan minit ke-59. Pada ke-64 giliran Ronald Matarrita menjaringkan gol ke-3 untuk Costa Rica.
Tersentak dengan ketinggalan 3 gol di belakang, Chile meningkatkan intensiti permainan. Mereka mendapat gol pertama menerusi Sebastian Vargas pada minit ke-70.
Selang 12 minit kemudian, Chile dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil. Alexis Sanchez tampil untuk mengambil tugasan itu. Sayangnya penalti beliau berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Costa Rica – Esteban Alvarado.
Alexis Sanchez walaubagaimanapun berjaya menjaringkan 1 gol pada minit ke-90. Namun ia sudah terlalu lambat untuk Chile mengelakkan diri daripada kekalahan.
Costa Rica berjaya mempertahankan gol ke-3 mereka pada masa kecederaan dan menang 3-2 ke atas Chile. Costa Rica berjaya mengakhiri rekod kekalahan dalam 4 perlawanan terakhir mereka.