Pemain tengah Kuala Lumpur City (KL City) iaitu Paulo Josue secara rasminya kini telah pun memadam rekod Fandi Ahmad untuk bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman buat pasukan tersebut.
Tatkala Fandi memegang rekod tersebut untuk suatu jangka masa yang lama bersama KL City, tampil bintang naturalisasi dari Brazil itu untuk mengatasinya pada saingan musim ini.
Penghargaan perlu diberikan buat Josue sendiri yang memilih untuk terus kekal bersama skuad Warga Kota walaupun kelab itu mengalami pelbagai masalah yang berpanjangan hingga musim ini.
Berdasarkan rekod cemerlang beliau sejak musim lalu, boleh sahaja untuk Josue memilih pasukan lebih baik demi mengembangkan lagi karier di pentas profesional.
Namun atas dasar sayang dan cintakan kelab, Josue memilih untuk terus kekal berbakti bersama KL City pada saingan musim ini di Malaysia.
Rekod kini menyaksikan beliau telah pun memintas Fandi yang sebelum itu telah meledak 67 gol secara keseluruhan buat KL City sebelum Josue menamatkan dominasi tersebut.
Josue pula kini telah pun melakar rekod 69 gol dan berpeluang untuk terus menambah angka itu menjadi lebih tinggi kerana saingan liga masih lagi panjang.
Pada usia 35 tahun, boleh dianggap ini sebagai pencapaian terbaik dilakar pemain Harimau Malaya itu yang meraih kejayaan cukup berharga buat KL City.
Selain merekodkan jumlah jaringan cukup besar buat KL City, sumbangan Josue daripada segi penghasilan gol juga cukup besar menerusi kualiti dipamerkan sejak bermusim lalu lagi.
Pernah mengalami saat jatuh bangun bersama pasukan, adalah mustahil untuk para peminat melupakan beliau sebagai salah seorang pemain terbaik pernah wujud di pentas Liga Malaysia (Liga M).
Josue juga menjadi simbol kesetiaan yang tidak berbelah bahagi untuk pasukan sehingga suatu kejayaan dicipta beliau pada masa kini dengan status warga tempatan selepas beliau dinaturalisasikan.
Pada pandangan kami, rekod dicipta Josue ini bakal menjadi suatu cabaran cukup besar untuk diatasi lawan pada masa hadapan serta tidak mustahil ia tidak mampu dipadam lagi.
Kami di Semuanya BOLA ingin mengucapkan tahniah buat Josue atas kejayaan dilakar beliau musim ini bersama KL City yang pastinya akan dikenang para peminat buat selama-lamanya.