Pemain naturalisasi Harimau Malaya, Paulo Josue boleh dianggap sedang menikmati musim terbaik beliau selaku salah seorang tonggak utama buat Kuala Lumpur City (KL City) menerusi pencapaian diraihnya.
Walaupun menerima pelbagai isu di luar padang bersama kelab tersebut, kesetiaan Josue buat KL City masih lagi utuh dan jelas berbaloi apabila kini dirinya dinobatkan selaku salah seorang penjaring terbanyak sepanjang zaman buat kelab tersebut.
Malah, rekod terdahulu yang dipegang oleh pengendali Sri Pahang kini iaitu Fandi Ahmad juga secara rasminya telah disamai oleh Josue sejak semalam setelah dirinya meledak gol ketika berdepan Sabah.
Untuk rekod, Josue secara rasminya telah menyamai status jaringan Fandi Ahmad dengan meledak 67 gol bagi menjadikannya selaku penjaring terbanyak KL City.
Malah, Josue berpeluang untuk terus menjarakkan rekod jaringan itu dengan saingan liga kini masih lagi panjang dan berkemungkinan bakal menjadi cabaran baharu buat pemain lain masa hadapan bagi memecahkan rekod tersebut.
Menyertai KL City sejak musim 2017, pemain kelahiran Brazil ini tidak mengambil masa yang panjang untuk terus memberikan impak positif sehingga dirinya disayangi para peminat.
Boleh dikatakan Josue sudah pun merasai semua saat susah senang bersama KL City sehingga ia mungkin menyebabkan pemain tersebut tidak pernah terfikir meninggalkan pasukan tersebut.
Walaupun ada laporan menyatakan pemain Harimau Malaya itu menerima beberapa tawaran daripada kelab lain musim lepas termasuk dikaitkan bersama Terengganu, Josue memilih untuk terus kekal bersama KL City.
Maka tidak hairan mengapa nama beliau sentiasa disanjung penyokong kelab tersebut di media sosial atas rasa cinta mendalam Josue buat KL City.
Sepanjang bersama KL City, Josue telah memastikan kelab itu meraih kejuaraan Piala Malaysia 2021, juara Liga Premier 2017, serta mara ke final Piala AFC 2022.
Malah, pemain itu juga dinobatkan selaku penjaring terbanyak buat kejohanan AFC musim 2022 dengan meledak lima gol secara keseluruhan bagi saingan tersebut.
Josue juga menjadi antara nadi utama buat skuad kebangsaan di posisi serangan dalam pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa serta turut merekodkan beberapa jaringan peribadi.
Secara keseluruhan, kita boleh anggap Josue sebagai seorang pemain yang benar-benar mencintai pasukannya dan memberikan segala diperlukan untuk KL City selain menjulang maruah Malaysia di pentas antarabangsa.
Kami di Semuanya BOLA ingin mengucapkan tahniah buat Josue atas kejayaan menyamai rekod Fandi Ahmad dan berpeluang tinggi untuk terus memintas lebih jauh daripada segi jumlah gol pada masa hadapan.