Pemain antarabangsa Jerman yang beraksi untuk Juventus, Sami Khedira begitu bersungguh-sungguh untuk melihat rakan senegaranya, Emre Can turut sama menyarung jersi hitam putih pasukan gergasi Itali itu.
Khedira menggesa supaya Juventus mengusahakan apa sahaja yang boleh dilakukan oleh juara Serie A 33 kali itu bagi membawa Emre Can menyertai kelab tersebut.
Can, 23 tahun, meninggalkan Bayer Leverkusen pada tahun 2014 bagi menyertai Liverpool dengan perpindahan yang bernilai £10 juta.
Kontrak Can hanya berbaki enam bulan sahaja lagi dan beliau telah menjadi sasaran juara bertahan Serie A itu sejak dari musim panas yang lalu.
”Saya sangat mengenali Emre Can,” kata Khedira kepada wartawan Sky Sports di Itali.
”Pertama sekali, Can adalah seorang pemain yang sangat baik. Dia seorang pemain muda, sudah tentu dia boleh meningkatkan prestasinya. Dia seorang pemain yang kuat dan berbakat tetapi sudah tentu dia perlu belajar.”
”Dan jika ada kemungkinan buat Juventus untuk menandatangani pemain ini, anda perlu menggunakan peluang tersebut kerana saya rasa dia merupakan ejen bebas pada musim panas nanti.”
”Jadi sekiranya saya merupakan seorang pengurus, sudah tentu saya akan mencuba dan menandatangani dia.”
Minggu lalu, Sky Sports di Jerman melaporkan Liverpool dan Can membincangkan mengenai kontrak lanjutan untuk kekal di Anfield dan pemain tengah itu juga tidak dibenarkan untuk meninggalkan Liverpool pada jendela perpindahan bulan Januari ini.
Namun laporan di Itali pula mengatakan bahawa Emre Can secara dasarnya sudah mencapai persetujuan untuk menyertai Juventus pada musim panas nanti.