Kecoh media sukan England hari ini.
Semuanya gara-gara penglibatan secara langsung pengurus baru England, Sam Allardyce yang menerima wang suapan berjumlah £400,000 untuk membantu sekumpulan individu melanggar peraturan perpindahan pemain seperti yang dilaporkan oleh The Telegraph semalam.
Selain isu menerima wang suapan, Sam Allardyce juga dilaporkan telah menghina bekas pengurus England, Roy Hodgson dan bekas jurulatih England, Gary Neville.
Dalam artikel ini, kami akan mengupas isu ini secara terperinci, dari A sampai Z.
Allardyce salah guna kuasa sebagai pengurus England
Untuk pengetahuan anda, wartawan The Telegraph telah menyiasat kes rasuah dan korupsi dalam sistem perpindahan pemain bola sepak British sejak 10 bulan lepas.
Dalam siasatan tersebut, The Telegraph berjaya merakam bukti video yang menunjukkan komitmen Sam Allardyce untuk membantu sebuah firma dari Asia mendapatkan hak pemilikan pihak ketiga terhadap pemain yang mahu bermain di England.
Menurut peraturan England FA dan FIFA, memiliki hak pemilikan pihak ketiga terhadap pemain (third party ownership of footballers atau TPO) adalah satu kesalahan. Ini kerana ia menyerupai sistem perhambaan.
Dalam rakaman video yang turut disertai oleh ejen Allardyce dan penasihat kewangannya, Allardyce memberitahu wakil firma tersebut bahawa ‘ianya bukan satu masalah’ untuk mereka mendapatkan TPO pemain.
Apa yang tak diketahui oleh Allardyce adalah, wakil firma Asia yang kononnya mahu membeli hak pemilikan pihak ketiga itu sebenarnya adalah wartawan The Telegraph yang menyamar!
Apa itu TPO (third party ownership of footballers)?
Seperti yang kami jelaskan sebelum ini, TPO berfungsi seperti sistem perhambaan.
TPO diharamkan oleh England FA pada tahun 2008. Pengharaman tersebut kemudiannya turut diikuti oleh FIFA pada tahun 2015.
Ia adalah situasi di mana seorang hak yuran perpindahan seseorang pemain dimiliki oleh dua pihak pada masa yang sama.
Sebagai contoh, hak yuran perpindahan pemain X dimiliki oleh kelab B dan firma C sebagai pihak ketiga.
Jika kelab A ingin membeli pemain X, mereka perlu berurusan dengan kelab B dan firma C.
Dan sekiranya terdapat banyak kelab yang ingin membeli pemain A, firma C berhak menentukan kelab mana yang patut pemain A pergi.
Mengapa TPO tak bagus untuk bola sepak?
Apabila TPO wujud, ia menggalakkan orang untuk membuat keputusan berdasarkan faktor kewangan. Bukannya faktor bola sepak.
Contohnya kelab A, B dan C mahu membeli pemain X yang kini sedang bermain di kelab Y. Hak yuran perpindahannya dimiliki oleh kelab Y dan pihak ketiga, firma Z.
Kelab A menawarkan £10 juta tetapi memberi jaminan pemain X akan menjadi pemain utama. Kelab B pula £20 juta tetapi pemain X perlu berhijrah ke liga tak terkenal. Kelab C pula menawarkan £30 juta tetapi pemain X hanya akan menjadi pemain simpanan.
Dari sudut pemain X, beliau mungkin mahu berpindah ke kelab A kerana tempatnya dalam kesebelasan utama pasukan sudah dijamin.
Tetapi sebagai pemilik TPO terhadap pemain X, firma Z mempunyai hak untuk menolak tawaran kelab A dan B.
Firma Z hanya mahukan keuntungan yang besar. Jadi mereka hanya menerima tawaran kelab C.
Mahu tak mahu, pemain X perlu berpindah ke kelab C. Maka mereputlah karier pemain tersebut di kelab C.
Urusan Allardyce bersama pemilik hak TPO pemain West Ham
Allardyce juga mendedahkan bahawa ketika beliau mengurus West Ham, Enner Valencia dibawa masuk dengan menggunakan kuasa pihak ketiga yang memiliki TPO.
Valencia dibawa masuk ke England menerusi pihak ketiga selepas The Hammers membeli pemain tersebut dari kelab Mexico, Pachuca sebanyak £12 juta.
Valencia akhirnya dimiliki sepenuhnya oleh West Ham selepas West Ham membayar sejumlah wang kepada pemilik TPO pemain tersebut.
Ketika ditanya oleh wartawan The Telegraph yang menyamar sebagai firma Asia yang mahu membeli TPO sama ada mereka akan berdepan dengan masalah, Allardyce menjawab:
“Tiada masalah.”
“Anda masih boleh mengelak daripada peraturan ini. Ia kerana jumlah wang yang dilaburkan di sini terlalu besar.”
Allardyce juga membidas peraturan mengharamkan TPO itu sebagai peraturan ‘bodoh’ dan ‘mengarut’.
Sebagai bayaran kerana menasihati firma-firma yang berminat memiliki TPO ini, Allardyce akan dibayar £400,000 setahun. Beliau juga sanggup pergi ke Hong Kong dan Singapura untuk ‘mengajar’ firma-firma dari Asia cara memiliki TPO.
Mengutuk orang lain
Selain daripada perbincangan mengenai TPO, Allardyce juga tidak segan silu mengutuk Roy Hogdson dan Gary Neville.
Mengulas mengenai prestasi Roy Hodgson atau ‘Woy’ seperti yang diejek beliau dalam video tersebut, Allardyce memberitahu Hodgson seorang jurulatih yang ‘tidak tahu membuat keputusan’.
“Dia menang 10 perlawanan kelayakan EURO. Tapi lawan Rusia dia tak boleh menang.”
Dalam pada masa yang sama beliau turut mengecam campur tangan penolong Hodgson iaitu Gary Neville.
“Tengok masa lawan Iceland, dia boleh bergaduh dengan Neville sama ada mahu bawa masuk Marcus Rashford ataupun tidak.”
“Bagi saya, Neville adalah pengaruh yang tidak baik. Hodgson sebagai pengurus perlu buat keputusan yang dia mahu dan bukan ikut keputusan orang lain.”
Allardyce juga membidas bosnya, FA England kerana membangunkan semula stadium Wembley yang disifatkannya sebagai “membazir”.
“Jumlah untuk bangunkan semula Wembley adalah £870 juta. Itu satu tindakan yang bodoh kerana mereka akan masih berhutang.”
“Bayangkan jika mereka membina semula Wembley di kawasan lain. Kosnya menjadi lebih murah kira-kira £400 juta sahaja!”
Lebih teruk dari yang disangka
Menurut The Telegraph, terdapat banyak lagi info mengenai salah laku rasuah melibatkan pemain dan pengurus di Premier League yang bakal didedahkan oleh mereka. Antaranya:
- Seorang pembantu pengurus kelab utama Premier League menerima ‘wang bawah meja’ sebanyak £5 ribu.
- 10 pengurus terlibat dalam rasuah dan kesalahan mengatur perpindahan pemain.
- 2 pengurus terbabit dalam urusan untuk menjadi ‘penasihat firma’ seperti Sam Allardyce.
- Seorang pengurus ternama Premier League yang merahsiakan kesalahan pemainnya kerana bertaruh terhadap perlawanan kelabnya sendiri.
- Seorang individu senior di Premier League membantu Telegraph mendedahkan pelan untuk merasuah pengurus.
Berdasarkan kes-kes yang bakal dibongkarkan ini, kami pasti perkara sama juga berlaku dalam bola sepak Malaysia. Cuma setakat ini, ia berjaya disorok dengan baik.
Baca juga: Penjelasan FAM Berhubung Isu Duit Penswastaan Liga Dan Korupsi