Selepas pendedahan yang dilakukan oleh The Telegraph mengenai salah laku Sam Allardyce semalam. Pengurus tersebut mengumumkan pengunduran diri daripada jawatan pengurus England.
Hal ini dibuat atas dasar persetujuan bersama antara FA England dan Allardyce sendiri.
Pengunduran yang menyedihkan
Bercakap kepada Sky News, pengerusi FA England Greg Clarke (gambar bawah) merasakan pengunduran Allardyce sebagai menyedihkan berbanding memalukan.
Walaupun Allardyce telah berundur dari jawatan pengurus, Allardyce tetap akan disiasat oleh FA England dan bakal dihukum.
Clarke bagaimana pun tidak dapat menyatakan sama ada benar Allardyce melakukan kesalahan yang dibocorkan oleh The Telegraph.
“Saya tidak pasti sama ada benar beliau ada melanggar mana-mana undang-undang.”
“Sebaiknya biarkan badan disiplin FA England menyiasat tuduhan tersebut, melihat kepada bukti-bukti yang ada dan membuat keputusan.”
Buat masa ini, jawatan pengurus England diisi sementara oleh Gareth Southgate (gambar bawah).
“Itulah plan A kami. Southgate adalah seorang yang cukup mengenali pasukan dan pegawai-pegawai di St. Goerge Park (padang latihan skuad England).”
Kenyataan yang dikeluarkan oleh FA England mengatakan Allardyce telah memohon maaf diatas kesilapannya.
“Beliau telah mengaku kesilapannya dan telah memohon maaf.”
“Ini bukanlah satu keputusan yang mudah untuk kami lakukan. Namun demi menjaga maruah dan standard bola sepak, kami perlu lakukannya.”
Allardyce bagaimana pun telah memohon maaf diatas perbuatannya itu.
Beliau sangat kecewa diatas apa yang berlaku. Dalam masa yang sama beliau memohon maaf kepada individu yang menjadi mangsa kutukannya dalam rakaman tersebut seperti Roy Hodgson dan Gary Neville.
England kini bahan lawak jenaka
Majoriti reaksi yang diberikan berupa reaksi negatif oleh bekas pemain dan bekas pengurus.
Bagi Alan Shearer, beliau sangat marah dengan apa yang dilakukan oleh Allardyce.
“Saya marah dan sedih. Saya tak boleh terima tindakan yang dilakukan oleh seseorang yang kata jawatan pengurus England itu adalah jawatan idamannya!”
Bagi Rio Ferdinand, perbuatan Allardyce tersebut telah membuatkan England kini menjadi bahan lawak jenaka di seluruh dunia.
“England kini sudah menjadi gelak tawa semua orang.”
Harry Redknapp bagaimana pun sedih diatas apa yang terjadi dengan kepada Allardyce.
“Ini merupakan hari yang sedih, dan saya pasti Allardyce akan sedih juga. Saya simpati dengan apa yang terjadi.”
“Ia mungkin satu impian menjadi pengurus England, tetapi untuk mematikan impian itu terlalu cepat adalah satu perkara yang sukar dipercayai.”
Allardyce berundur dari jawatan pengurus England selepas hanya berkhidmat selama 67 hari sahaja.
Beliau mempunyai rekod sebagai pengurus England yang paling sekejap berkhidmat serta mempunyai rekod kemenangan 100% dari 1 perlawanan.
Adam Lallana menjadi satu-satunya penjaring gol England ketika era Allardyce.
Baca juga: Allardyce ‘Kantoi’ Salah Guna Kuasa, Bantu Orang Luar Langgar Peraturan England FA & FIFA