Nampaknya sasaran pemilik bersama kelab Salford City FC, Gary Neville untuk kelab tersebut layak ke Football League dalam tempoh 4 hingga 6 tahun seakan-akan bakal direalisasikan.
Masih ingat kata-kata Neville dalam artikel “Class of 92’ Sasar Salford City Ke EPL, Yakin Kelab Mampu Berdaya Saing“?
“Kami tidak akan mengambil alih kelab ini jika kami berpendapat kami tidak mampu membawanya pergi jauh. Kami menerima hakikat wujudnya cabaran berat di hadapan.
“Akan ada turun dan naik sepanjang perjalanan ini, tetapi kami ada sasaran yang kami mahu capai. Buat masa ini, sasaran realistik ialah menuju ke Football League dalam tempoh 4 hingga 6 tahun yang akan datang,” ujar Neville pada Ogos 2017.
Salford City baharu sahaja mengesahkan promosi mereka ke National League selepas dimahkotakan kejuaraan di saingan National League North musim 2017/18.
Ini merupakan promosi ketiga dalam tempoh empat musim buat kelab tersebut dan dengan kenaikkan pangkat tersebut, mereka kini hanya satu tangga di bawah Football League.
Walaupun tewas 1-2 kepada Boston United, mereka tetap meraih mahkota National League North selepas pencabar terdekat Harrogate Town tumbang 1-3 kepada lawan.
Salford City kini berada di puncak liga dengan 88 mata daripada 41 perlawanan, berbaki satu perlawanan. Mereka hanya tewas 7 perlawanan pada musim 2017/18.
Football League merangkumi tiga divisyen iaitu Championship, League One dan League Two serta mengandungi 72 pasukan profesional bertanding pada setiap musim.
Salford City dimiliki bersama 4 bekas bintang Manchester United iaitu Gary Neville, Nicky Butt, Ryan Giggs dan Paul Scholes ataupun lebih sinonim dengan panggilan Class of ’92.
Kelab yang berpengkalan di bandaraya Manchester itu diurus bersama oleh dua pengurus iaitu Anthony Johnson dan Bernard Morley selepas memecat Phil Power pada Januari 2015.
Giggs yang juga merupakan ketua jurulatih Wales ketika ini dilihat turut berada di padang bersama para pemain Salford City meraikan kejayaan mereka musim ini.
Neville, Butt, Giggs dan Scholes juga telah mengucapkan tahniah kepada kelab atas kejayaan meraih promosi melalui sebuah video yang telah dimuat naik di Twitter kelab.
Neville dilihat berkata, “Juara, Salford City FC. Tiga promosi dalam tempoh 4 tahun, pencapaian yang tidak terduga.”
Butt pula mengucapkan tahniah kepada para pemain dan barisan kejurulatihan, sementara Giggs pula menyatakan penghargaan kepada para penyokong kelab.
“Sekarang, mari kita ke National League!” tegas Scholes di akhir video berdurasi 26 saat itu.
After being confirmed as Champions, we have a special congratulatory message to the team to share from our owners! 🦁 pic.twitter.com/92TKwBGrW5
— Salford City FC (@SalfordCityFC) April 21, 2018