Sehari sebelum England menentang Estonia, Roy Hodgson mendedahkan Raheem Sterling berterus-terang dalam sesi latihan memberitahunya – “saya penat, bos.”
Pengurus Liverpool Brendan Rodgers merehatkan Sterling semasa perlawanan menentang Aston Villa selepas Sterling bermain 90 minit untuk England awal September lepas. Selepas itu, Sterling bermain penuh 90 minit dalam 6 perlawanan Liverpool seterusnya termasuklah dalam perlawanan 120 minit menentang Middlesbrough dalam Capital Cup.
Jika diperhatikan jumlah minit Sterling bermain untuk Liverpool dan gaya permainannya yang banyak berlari, ini mengingatkan kita kepada Michael Owen dan Robbie Fowler ketika muda. Apabila umur Owen dan Fowler menginjak 24 – 25 tahun, mereka mula mendapat banyak kecederaan. Nyata Sterling prihatin dengan sejarah Owen dan Fowler.
Tetapi ramai juga mempertikaikan Sterling.
Dia masih muda. Ini baru bulan Oktober. Belum masuk bulan Desember lagi. Dia tidak boleh berkata ‘tidak’ kepada negara yang memerlukan khidmatnya. Itu namanya membelot kepada negara.
Ramai yang mempersoalkan bermain bola adalah pekerjaannya. Anda tidak boleh berkata ‘tidak’ melainkan anda cedera. Seperti juga orang lain yang bekerja di pejabat. Setiap hari mereka bekerja lebih 8 jam sehari dengan gaji yang jauh lebih kecil dari Sterling, tetapi mereka tidak masuk ke pejabat bos mereka untuk beritahu – ‘saya penat, bos” – tanpa sijil surat sakit, bukan?
Sterling membalas kutukan ini dengan tweet – “Excuse me for being human”.
Jadi soalan kami adalah, adakah anda merasakan tindakan Sterling betul? Adakah anda pernah mengalami situasi seperti Sterling – bermain dalam sukan 3 kali seminggu – dan merasakan anda perlu direhatkan? Adakah anda rasa tindakan Sterling mengkhianati negaranya sendiri? Apa reaksi anda jika pemain Malaysia yang melakukan perkara sama?
Kongsikan pengalaman dan pendapat anda di ruangan komen.