Situasi Salah Mirip Suarez 4 Tahun Lalu, Adakah Ianya Satu Kebetulan?

Kebetulan ataupun tidak, tragedi yang menimpa penyerang Liverpool, Mohamed Salah seakan-akan mirip kepada tragedi yang menimpa Luis Suarez sebelum saingan Piala Dunia 2014.

Walaupun berbeza dari segi jenis dan sebab kecederaan, namun ianya terjadi kepada penyerang utama Liverpool dan kecederaan tersebut berlaku saat-saat Piala Dunia semakin hampir.

Menariknya mereka adalah pemenang anugerah Pemain Terbaik Tahunan, Pemain Terbaik Tahunan PFA dan juga Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Penulis Bola Sepak. Kebetulan?

Salah mengalami kecederaan di bahu ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 27 Mei yang lalu, sementara Suarez mengalami kecederaan lutut pada 22 Mei 2014 ketika sesi latihan.

Musim cemerlang Suarez dan Liverpool

Imbas semula pada bulan Mei 2014, Suarez ketika itu cemerlang membantu Liverpool untuk meraih kedudukan ke-2 liga, melebihi jangkaan awal para pemerhati bola sepak.

Ia adalah musim yang cukup cemerlang buat Liverpool kerana menjadi salah satu pasukan pencabar kejuaraan liga dengan memiliki jentera serangan yang cukup ampuh.

suarez

101 gol yang dihasilkan sepanjang musim 2013/14 adalah bukti kekuatan jentera serangan mereka dan merupakan rekod baharu kelab yang berpengkalan di Liverpool itu.

Suarez menyumbang 30% gol Liverpool, meledak 31 gol sepanjang saingan liga dan merupakan penjaring terbanyak Liga Premier Inggeris (EPL) untuk musim tersebut.

Kecederaan meniskus

Suarez dijangka akan meneruskan sentuhan berbisa tersebut di Piala Dunia, namun segalanya berubah apabila dia disahkan mengalami kecederaan lutut ketika sesi latihan.

Uruguay tetap yakin dia akan beraksi di Piala Dunia walaupun hasil imbasan MRI yang dibuat menunjukkan terdapat kecederaan meniskus di lututnya dan memerlukan pembedahan.

Menurut laporan The Guardian, proses pemulihan selepas pembedahan untuk kecederaan sebegini biasanya mengambil masa antara empat hingga enam minggu untuk pulih.

Jika bernasib baik, dia mungkin sudah boleh beraksi seawal dua minggu sebagaimana John Terry ataupun lebih buruk selepas 10 minggu, seperti nasib yang menimpa Phil Jones.

suarez, salah
Foto: Martin Mejia/AP

Ancaman bunuh 

Para penyokong Uruguay yang nyata kecewa dengan perkhabaran ini telah mengeluarkan ancaman bunuh kepada ‘punca’ kecederaan penyerang kesayangan mereka itu.

Suarez dikatakan mengalami kecederaan awal pada perlawanan terakhir liga menentang Newcastle United dan ia baharu dirasainya ketika sesi pertama latihan bersama Uruguay.

Pertahanan Newcastle, Paul Dummett yang dilayangkan kad merah atas kekasaran yang dilakukan terhadap Suarez itu telah menjadi sasaran amarah para penyokong Uruguay.

Walaubagaimanapun, Suarez selepas pembedahan tersebut meninggalkan pesanan menerusi stesen radio Ovacion supaya semua bertenang dan dia akan tetap ke Brazil.

‘Saya akan cergas untuk menentang England’

Menurut laporan Telegraph, Presiden Uruguay FA, Wilmar Valdez dipetik berkata bahawa kecederaan Suarez tidaklah serius dan dijangka dia bakal kembali selepas dua minggu.

Dia dijangka akan terlepas aksi pembukaan Kumpulan D menentang Costa Rica sementara untuk dua lagi aksi menentang England dan Itali, ianya masih dalam status meragukan.

suarez, salah
Foto: Reuters

Menurut laporan Independent, dia didapati meninggalkan pesanan kepada rakan-rakan Liverpool yang berada di kem England yang dia akan cergas untuk menentang mereka.

Doktor pasukan Uruguay, Alberto Pan turut dilihat seakan-akan mengesahkan yang Suarez bakal pulih dalam masa yang singkat apabila menyatakan kondisi pemain tersebut ‘sangat positif’.

England tumbang, Suarez ledak dua gol

Suarez sah turun beraksi untuk aksi kedua kumpulan dan memburukkan keadaan, England perlu mencari kemenangan dalam perlawanan ini selepas tumpas menentang Itali.

Walaubagaimanapun, England tampak bergelut sepanjang perlawanan tersebut. Tekanan dirasai, peluang yang terhidang disia-siakan dan England beraksi tanpa keyakinan.

Suarez menepati ramalan, dia adalah pemain tumpuan pada malam itu. Walaupun Wayne Rooney menyamakan gol jaringannya di babak kedua, Uruguay berjaya bangkit semula.

Berbaki lima minit, dia berjaya meledak gol menarik menewaskan penjaga gol, Joe Hart untuk memberikan kemenangan berharga buat Uruguay ke atas The Three Lions.

suarez, salah
Foto: Getty Images

Situasi Salah

Menurut laporan Daily Mail, fisio Liverpool, Ruben Pons dikatakan percaya Salah mampu pulih dan beraksi di Piala Dunia 2018. Salah telah berangkat ke Sepanyol untuk sesi rehabilitasi.

Menurut Pons, dia menjangkakan Salah akan pulih dalam masa tiga hingga empat minggu, namun mereka menyasarkan akan cuba untuk menyingkatkan tempoh tersebut.

Mesir mungkin boleh mengikut langkah yang dibuat oleh Uruguay empat tahun lalu, iaitu tetap menyenaraikan Salah untuk dibawa ke Rusia pada pertengahan Jun depan.

Sebagaimana Uruguay memerlukan Suarez, begitu jugalah Mesir yang mahukan sentuhan Salah di pentas Piala Dunia nanti. Apa jua natijahnya nanti, haruslah ditanggung bersama-sama.

Penutup

Kita boleh lihat wajah kekecewaan dan kekesalan pemain-pemain yang tiba-tiba dirundung kecederaan panjang yang menjejaskan peluang mereka untuk ke Piala Dunia.

Apakah persamaan kepada kecederaan kedua-dua pemain ini? Seperti Salah, Suarez juga sedang berada di puncak prestasi bersama Liverpool pada musim tersebut.

Adakah ianya kerana bebanan yang diletakkan oleh Liverpool terhadap keupayaan individu seseorang pemain? Ataupun hanya kebetulan?

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN