Setelah tampil dengan pelbagai kritikan pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 tempoh hari, Stadium Nasional Bukit Jalil mungkin bakal mengalami perubahan baharu ke arah lebih positif pada masa hadapan.
Untuk rekod, perubahan telah dibuat pada Stadium Axiata menerusi nama baharu diperkenalkan apabila sebelum itu dikenali dengan nama Stadium Putra.
#bolatime #kualalumpur Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menolak kemungkinan menjual hak nama Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kepada rakan kongsi strategik untuk menaja pendapatan.https://t.co/Q9cyRD0ker
— Harian Metro (@hmetromy) June 18, 2022
Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang melihat perkara inj mungkin berlaku apabila ada dalam perancangan untuk masa hadapan menerusi kementeriannya.
“Banyak cadangan ke arah itu, tetapi buat masa ini, kita yakin mampu (menguruskan) tetapi saya tidak tolak kemungkinan untuk masa akan datang.
“Itu antara salah satu cara untuk kita memandang ke depan,” katanya ketika ditemui pada Sesi Teh Tarik Santai di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin menerusi Arena Metro.
Sebelum itu, Khairy Jamaludin sendiri pernah berkata sewaktu beliau memegang jawatan tersebut iaitu penjenamaan Stadium Axiata berjaya dibuat kerana perjanjian termaktub antara Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bersama Axiata Group Sdn Bhd selama 10 tahun dengan nilai RM55 juta.
Selain itu, Faizal juga melihat sudut penyelenggaraan turut perlu diberi tumpuan lebih baik serta menaik taraf padang menjadi lebih berkualiti serta menyediakan fasiliti lengkap.
“Penyelenggaran amat penting. Jadi sebab itulah saya maklumkan kepada PSM supaya teruskan buat perancangan bagi mendapatkan rakan kerjasama strategik untuk menjana lebih banyak pendapatan.
“Banyak yang boleh kita lakukan di sekeliling stadium umpamanya membuka pusat perniagaan barangan sukan, muzium dan sebagainya bagi menghidupkan industri sukan ini,” katanya.
Untuk rekod di luar negara, beberapa stadium dan venue sukan juga telah dijenamakan kerana menjalankan kerjasama strategik dengan syarikat besar seperti Stadium Emirates kepunyaan Arsenal di London, Stadium Etihad di Manchester, Allianz Arena kegunaan kelab gergasi Jerman, Bayern Munich serta Arena OCBC dan Pusat Akuatik OCBC di Singapura.
SNBJ menerima kritikan keras daripada pemerhati bola sepak tempatan dan luar negara setelah keadaan padang di stadium tersebut sangat teruk dari segi kualiti ketika aksi kelayakan tersebut.
Mantap stadium NASIONAL bukit jalil, tolak air pakai penyodok sampah 😂 pic.twitter.com/eWoWxqA3BG
— Khairil Anuar (@KhairilAnuar) June 11, 2022
Sebelum itu TMJ sendiri antara yang lantang mengkritik jenis rumput digunakan dalam stadium tersebut tidak berkualiti untuk acara bola sepak tempatan dan antarabangsa.