Moahamed Salah, Cristiano Ronaldo dan Luka Modric menjadi finalis 3 teratas untuk merebut Anugerah Pemain Terbaik Tahunan UEFA mengenepikan cabaran pemain seperti Messi, Griezmann dan De Bruyne.
Ronaldo yang baru sahaja menyertai Juventus berjaya menjaringkan 15 gol daripada 13 perlawanan UCL musim lalu. Dan sudah pastinya beliau membantu Real Madrid menjuarai UCL menewaskan Liverpool.
Di peringkat domestik, Ronaldo menjaringkan 26 gol dan 2 gol dalam Piala Dunia Antara Kelab musim lalu.
Naib Juara UCL musim lalu, Mohamed Salah menjadi pemain sensasi Liverpool menjaringkan 44 gol dalam kesemua pertandingan untuk The Reds.
Beliau menang 3 Anugerah Pemain Terbaik Bulanan EPL dan menjadi pemain Terbaik PFA serta Pemain Terbaik Afrika.
Luka Modric menjadi instrumental penting membantu Real Madrid ke final UCL. Beliau antara pemain terbaik dalam final UCL dalam kemenangan 3-1 mereka ke atas Liverpool.
Modric kini masih lagi menjadi subjek hangat di bursa perpindahan, dikaitkan dengan perpindahan ke Inter Milan.
Ini selepas aksi cemerlang beliau di Piala Dunia 2018 dan terpilih sebagai pemenang Bola Emas kejohanan.
Pemenang akan diumumkan pada malam undian peringkat kumpulan UCL, 30 Ogos 2018 ini.
Antara nama yang berada dalam 10 terakhir sebelum 3 terakhir ini adalah, Antoine Griezmann di tangga ke-4, Lionel Messi tangga ke-5 dan Kylian Mbappe di tangga ke-6.
De Bruyne berada di tangga ke-7, diikuti Varane, Hazard dan Sergio Ramos. Malang untuk Neymar yang tiada dalam senarai 10 teratas.
Sebagai rekod, Cristiano Ronaldo adalah pemenang anugerah ini dalam 2 edisi berturut-turut sebelum ini.
Cristiano Ronaldo sekali lagi dianggap calon pilihan untuk memenangi anugerah ini. Adakah beliau akan mencipta kemenangan ke-3 berturut-turut sebagaimana kejayaan beliau menjuarai UCL bersama Real Madrid?
Sama-sama kita nantikan.