Selepas gagal menghasilkan kemenangan buat Liverpool dalam aksi bertemu Arsenal, Jurgen Klopp kini dalam proses untuk menimbang kedudukan Mohamed Salah dalam pasukan.
Namun begitu, kedudukan yang dimaksudkan dengan jawatan Salah sebagai pengambil sepakan penalti bagi Liverpool.
Untuk rekod, Salah telah melepaskan dua sepakan penalti yang cukup penting ketika bertemu Bournemouth serta semalam ketika The Reds dalam misi untuk bangkit bertemu Arsenal.
Sepakan penalti yang dilepaskan oleh Salah sememangnya merugikan kerana kerana kegagalan itu, Liverpool terlepas peluang untuk meraih kemenangan.
Bercakap selepas perlawanan, Klopp mengatakan yang isu ketumpulan Salah dari jarak 12 meter bakal menjadi sesuatu yang perlu dibincangkan namun secara tertutup.
“Ianya akan dibincangkan tetapi tidaklah di sini,” kata Klopp ringkas.
Jika benar Salah direhatkan seketika daripada mengambil sepakan penalti untuk Liverpool, mereka masih lagi mempunyai beberapa pilihan lain.
Mereka boleh memberikan semula tanggungjawab tersebut kepada James Milner namun hanya jika pemain itu diturunkan Klopp.
Jika tidak, Liverpool boleh mengharapkan kepada Fabinho untuk mengambil tugasan tersebut kerana pemain Brazil itu lebih kerap diturunkan berbanding Milner.
Kerana kegagalan Salah dalam menyempurnakan sepakan penalti itu, ia menyebabkan Klopp berasa yang The Reds hilang dua mata berbanding meraih satu mata.
Pada hemat Klopp, Arsenal adalah pasukan yang lebih beruntung kerana berjaya mendapatkan satu mata.
“Saya tersepit diantara gembira atau tidak. Saya tiada masalah dengan keputusan seri. Arsenal adalah pasukan yang baik tetapi mereka mungkin dan patutnya kalah perlawanan ini.
“Satu mata adalah lebih baik untuk mereka,” kata Klopp menerusi Mirror.