Sains Di Sebalik Trauma Kepala (Concussion) Yang Dialami Oleh Loris Karius

Pakar perubatan telah mengesahkan bahawa penjaga gol Liverpool, Loris Karius mengalami trauma kepala (concussion) ketika pasukannya Liverpool tewas dalam perlawanan akhir UEFA Champions League (UCL) kepada Real Madrid.

Karius dipersalahkan untuk dua kesilapan mudah sehingga menyebabkan Liverpool kecundang 3-1 dalam perlawanan tersebut.

Kronologi kesilapan Karius

Karius dilihat bertembung dengan pemain pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos pada awal babak kedua perlawanan.

Selang beberapa minit selepas itu, kesilapan pertama Karius seolah-olah tidak masuk akal. Ia sepatutnya lontaran bola rutin dari kawasan kotak penalti sendiri untuk mencari rakan sepasukan.

Bagaimanapun, Loris melontarkan bola ke arah penyerang Real Madrid, Karim Benzema, untuk penyerang Perancis itu sekadar menghadang bola, sebelum ianya bergolek masuk ke dalam gawang Liverpool.

Tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh Karius untuk gol kedua Real Madrid. Jaringan akrobatik oleh Gareth Bale deras menuju penjuru kanan gol Liverpool.

Namun demikian, gol kedua oleh Bale dan ketiga untuk Real Madrid dalam perlawanan tersebut sekali lagi mencetuskan tanda tanya mengenai kebolehan Loris.

Bale melepaskan percubaan dari jarak 25 meter, dan ia sepatutnya mudah bagi penjaga gol tersebut, sekurang-kurangnya untuk menolak keluar percubaan itu.

Sebaliknya, Loris sekadar menepis lemah percubaan oleh Bale, dan bola menerjah ke belakang gawang kawalan beliau.

Rawatan untuk Karius

Penjaga gol dari Jerman itu dilaporkan menjalani pemeriksaan di sebuah hospital di Boston, Amerika Syarikat.

Trauma kepala yang dialami oleh Karius dikatakan memberikan impak segera, sehingga menjejaskan prestasi penjaga gol tersebut di atas padang.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Dr. Ross Zafonte (gambar bawah, kiri sekali) melalui satu kenyataan rasmi oleh beliau selepas menilai aksi Karius, laporan perubatan dan simptom yang dialami oleh penjaga gol itu dalam perlawanan tersebut.

(Photo by Scott Eisen/Getty Images for Roadside Attractions)

Apa itu Trauma Kepala (Concussion)?

Concussion ataupun konkusi merujuk kepada kecederaan di bahagian otak.

Kecederaan otak boleh berlaku akibat daripada beberapa jenis bentuk trauma di kepala sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Kebanyakan kecederaan kepala  di dalam bola sepak adalah kecederaan ringan. Tetapi kecederaan kepala yang teruk boleh mengakibatkan

(Photo by Marvin Joseph/The Washington Post via Getty Images)
  • Kecederaan otak yang teruk apabila berlaku pendarahan dalam otak
  • Bengkak pada tisu otak
  • Kerosakan otak yang teruk.

Kecederaan kepala yang teruk melibatkan kerosakan saraf yang kekal dan turut boleh mengakibatkan kematian. Kecederaan kepala juga boleh berkaitan dengan kecederaan bahagian tubuh yang lain, terutamanya leher.

Jenis kecederaan 

Terdapat dua jenis kecederaan otak akibat trauma kepada iaitu kecederaan kepala terbuka, dan juga kecederaan kepala tertutup.

Kecederaan kepala terbuka melibatkan luka di tisu luar akibat tusukan tajam.

Di dalam kes Karius, ia dikategorikan sebagai kecederaan kepala tertutup. Kecederaan ini disebabkan oleh satu hentakan kepada kepala. Akibatnya, masalah seperti keretakan tengkorak kepala, pendarahan dan darah beku dalam otak boleh berlaku.

Akibat dan kesan kecederaan 

Salah satu akibat kecederaan oleh individu yang mengalami kecederaan sebegini ialah masalah kognitif.

Antara kesannya ialah individu tersebut akan mempunyai masalah memberi tumpuan bagi tempoh masa tertentu.

Pesakit juga akan mengalami masalah menyusun apa yang difikir, mudah keliru dan juga lupa.

(Photo by Etsuo Hara/Getty Images)

Jika keadaan menjadi semakin teruk, sesetengah individu turut akan mengalami kesukaran mempelajari maklumat baru.

Mereka juga menjadi sukar mentafsir tindakan orang lain dan menyebabkan mereka menghadapi masalah untuk bersosial. Apa yang mereka katakan atau apa yang mereka lakukan sering tidak sesuai dengan keadaan.

Ada pula yang mengalami kesukaran menyelesaikan masalah, membuat keputusan, dan merancang. Pertimbangan sesuatu perkara juga terjejas.

(Photo by Nick Potts/PA Images via Getty Images)

Ini mungkin menjelaskan bagaimana Karius begitu mudah melepaskan bola untuk Karim Benzema menolak masuk untuk gol pertama Real Madrid.

Kesilapan oleh Karius diikuti dengan kegagalan pemain tersebut menilai dengan tepat percubaan Gareth Bale dari jarak 25 meter.

Rumusan

Berdasarkan evaluasi oleh pakar perubatan di Boston, kecederaan Karius dilaporkan tidak serius.

Walaupun simptom trauma di bahagian kepala itu jelas, penjaga gol Liverpool berusia 24 tahun itu dijangka akan pulih sepenuhnya selepas memperolehi rawatan dan rehat yang secukupnya.

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN