Penyerang kebangsaan Singapura berusia 24 tahun, Sahil Suhaimi dilaporkan menuju ke Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama kelab Burnley.
Four Four Two melaporkan Sahil Suhaimi akan menyertai skuad pembangunan Clarets di bawah seliaan Jurulatih Senior Fasa Pembangunan Profesional Clarets, Michael Jolley seawal minggu hadapan.
Dari Tampines ke Burnley
Laporan dari web rasmi kelab Tampines Rovers melaporkan kos perjalanan dan penginapan akan ditanggung sepenuhnya oleh kelab Liga Singapura berkenaan.
Perbelanjaan harian Sahil Suhaimi sepanjang tempoh latihan di Burnley pula akan ditaja oleh Pengerusi Tampine Rovers, Krishna Ramachandra.
“Kami amat gembira sesi pemilihan (trial) ini direalisasikan untuk Sahil. Ini adalah peluang keemasan untuk beliau,” ujar Krishna melalui satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Tampines Rovers.
“Dia bekerja keras untuk melayakkan diri ke sana dan juga untuk mencapai potensi sebenar diri. Kami gembira untuk Sahil”
“Saya sentiaasa berpendirian bahawa kelab dalam Liga Singapura sentiasa bersedia untuk berbakti untuk bola sepak Singapura- maka kami tidak akan mengekang pemergian Sahil ke EPL”
“Kami juga bersifat terbuka ketika Hafiz Sujad dan Izwan Mahbud mendapat peluang di luar negara dahulu. Kita harus menggalakkan lebih ramai pemain muda untuk menimba pengalaman di luar.”
“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Sahil dan percaya beliau akan memastikan bendera Singapura sentiasa berkibar megah,” tambah Krishna Ramachandra.
Sahil Yakin
Sahil yang didaftarkan untuk aksi di Piala AFC dan kurang beraksi tahun ini berharap beliau mampu menarik minat pencari bakat ketika berada di England.
“Saya sentiasa percayakan kebolehan diri. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memastikan sesi percubaan ini satu realiti”.
“Ini mungkin hanya sekadar sesi percubaan, tetapi panggilan ini sudah pun meningkatkan keyakinan diri saya.”
“Saya berharap ini menjadi mesej positif untuk pemain bola sepak lain yang masih tercari-cari hala tuju dan sentiasa tabah”
“Ini adalah langkah pertama. Saya akan memberikan yang terbaik dan akan sedaya upaya membuatkan Tampine Rovers dan Singapura bangga dengan pencapaian saya.”
Singapura seberang tambak Luar Negara
Sebelum ini, Tampines Rovers telah melepaskan Hafiz Abu Sujad untuk beraksi di Liga Divisyen 2 Thailand.
Penjaga gol, Izwan Mahbud turut pernah menjalani ujian pemilihan bersama pendatang baru Liga J, Matsumoto Yamaga tahun lalu setelah aksi cemerlang beliau di peringkat antarabangsa.
Sebelum era Liga Singapura yang bermula pada tahun 1996, Singapura pernah memiliki pemain yang berkelana di Eropah seperti Fandi Ahmad dan V. Sundramoorthy.
Pada hari ini, Singapura turut memiliki beberapa pemain muda yang berkelana di serata dunia untuk mengembangkan bakat bola sepak masing-masing.
Nama-nama seperti Irfan Fandi, Mahathir Azeman, Adam Swandi, Bryan Neubroner dan Ahmad Hakimputra pasti akan kembali dan menjadi tunjang Kota Singa satu hari nanti.
Baca juga: Kerana Lakukan Provokasi Terhadap Pengadil, Neymar Mungkin Terlepas El Clasico