Sahil Suhaimi Sertai Sarawak, Mahu Pasukan Lawan Kembali Gerun Di Stadium Negeri

Sebentar tadi, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengesahkan telah menandatangani penyerang Singapura, Sahil Suhaimi untuk mengisi slot import dari Asia.

Ini bukanlah perkhabaran yang mengejutkan setelah kami pernah melaporkan kelibat Sahil Suhaimi di Kuching beberapa minggu yang lalu.

Sahil Suhaimi adalah pemain import kedua yang dibawa oleh pengurusan FAS pada jendela perpindahan kali ini selepas menandatangani pemain tengah Montenegro, Milos Raickovic Rai Sabtu lalu.

Kedua-duanya dijangka akan melakukan debut dalam perlawanan menentang Perak di Ipoh bergantung kepada pelepasan ITC.

Kenali Sahil

Pada April lepas, Sahil Suhaimi dilaporkan menyertai skuad pembangunan Clarets di Burnley. Pemain ini memiliki cita-cita yang besar dalam karier bola sepaknya dan tidak takut menerima cabaran baru.

Pemergian ke Burnley adalah satu inisiatif untuk menimba pengalaman dan mengalami sendiri kehidupan sebagai seorang pemain bola sepak profesional dalam liga antara yang paling kompetitif di dunia.

Info Data

Tarikh Lahir              : 8 July 1992

Umur                            : 24

Kewarganegaraan   : Singapura

Posisi                            : Penyerang/ Pemain Tengah Menyerang

Kelab/Pasukan         : Sarawak FA

Pemergian Sahil Suhaimi berkelana di Burnley adalah satu cubaan mencuri tumpuan pencari bakat di England. Ia satu langkah yang cukup berani untuk seorang pemain yang selesa beraksi di posisi No.10 ini.

Ketua Jurulatih skuad Bujang Senang, David Usop.

Setelah sebulan berkelana di Burnley, kesungguhan pemain berusia 24 tahun ini menarik minat ketua jurulatih Sarawak F.A, David Usop.

Atas usaha Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Sahil Suhaimi hadir di Kuching, bersedia untuk menerima satu lagi cabaran baru dalam karier bola sepak beliau.- mengangkat kembali pasukan Sarawak FA ke era gemilang silam!

Mungkin terlalu awal untuk kita menilai kemampuan Sahil bersama Sarawak. Tetapi keberanian beliau dalam menerima cabaran baru, cukup untuk membuatkan kami kagum.

Kita singkap perjalanan karier anak muda dari Kota Singa ini.

Karier Awal

Sahil Suhaimi dipilih untuk menyertai Young Lions F.C pada musim 2010 di Liga Singapura. Young Lions F.C adalah projek dan di bawah seliaaan terus Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).

Kelab ini bertanggunjawab megumpul dan mengembangkan bakat-bakat bola sepak muda di Kota Singa. Peranannya hampir sama dengan skuad Harimau Muda yang pernah dibentuk oleh FAM satu masa dahulu.

Action Images via Reuters

Debut pertama Sahil Suhaimi sebagai pemain bola sepak profesional hadir pada tahun 2010, pada ketika beliau berusia 17 tahun.

Dalam perlawanan menentang Etoile F.C (pasukan jemputan Liga S dari Perancis), Sahil memperagakan persembahan yang menakjubkan, mengemudi jentera tengah pasukannya.

Pada musim 2012, kelibat Sahil mencuri tumpuan apabila menjadi salah seorang pemain Singapura yang menyerlah dalam Piala NexLion, pertandingan yang turut menampilkan bakat dari akademi Manchester United, Liverpool dan Sporting Lisbon.

Sahil Suhaimi ketika bersama Young Lions.

Singapore LionsXII

10 gol dalam 32 penampilan bersama Young Lions, cukup untuk Sahil Suhaimi meyakinkan jurulatih menyerap beliau masuk ke pasukan LionsXII untuk saingan Liga Super Malaysia 2015.

LionsXII adalah pasukan Bawah-23 Singapura yang beraksi di Liga Malaysia hasil perjanjian MoU yang ditandatangani oleh badan induk bola sepak kedua-dua buah negara.

Tidak ada rekod jelas menujukkan penampilan Sahil Suhaimi bersama pasukan LionsXII, tetapi Sahil telah tampil sekurang-kurangnya dalam 17 perlawanan sepanjang musim tersebut.

SINGAPURA 17 October 2015. Pemain Lions XII, Sahil Suhaimi (dua dari kanan) diasak pemain JDT II, Nicholas Delmonte (kanan) pada perlawanan menantang Lions XII, Liga Piala Malaysia, di Stadium Jalan Besar, Singapura. NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Sudah pasti kehadiran Sahil Suhaimi bersama LionsXII tidak dapat dilupakan oleh penyokong pasukan Kelantan. Dalam final Piala FA 2015, Sahil Suhaimi menjaringkan 2 gol untuk membantu LionsXII mencipta sejarah memenangi piala berkenaan.

LionsXII menewaskan Kelantan 3-1 di hadapan puluhan ribuan penyokong The Red Warrior dalam final yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil tersebut.

Sahil Suhaimi meraikan jaringan menentansg Kelantan dalam final Piala FA.

Setelah LionsXII dibubarkan pada penghujung tahun 2015, Sahil menyertai Geylang United di Liga Singapura sebelum berpindah ke Tampine Rovers.

Namun di Tampine, Sahil Suhaimi hanya didaftarkan untuk saingan Piala AFC untuk musim 2017, sebelum beliau ke Burnley untuk menyertai latihan selama sebulan di sana.

Singapura

Aksi cemerlang Sahil Suhaimi terutama ketika bersala LionsXII turut menyebabkan beliau diserap ke dalam skuad kebangsaan Singapura.

Debut antarabangsa Sahil ialah pada 10 Oktober 2013 menentang Laos. Sehingga ke hari ini, Sahil telah membuat 6 penampilan bersama skuad kebangsaan Singapura.

Sahil Suhaimi juga adalah sebahagian daripada pasukan Bawah-23 Singapura yang memenangi pingat gangsa di Sukan SEA 2013.

Sahil turut muncul sebagai penjaring terbanyak dalam Sukan SEA yang dianjurkan di Myanmar bersama-sama Hazwan Bakri dari Malaysia dengan 3 gol.

Aksi Sahil Suhaimi ketika menentang Malaysia.

Kesimpulan

Kehadiran Sahil Suhaimi ke Sarawak adalah satu cabaran baru buat pemain kebangsaan Singapura ini. Pengalaman beliau bersama LionsXII membuatkan beliau tidak asing dengan corak dan saingan kancah Liga Malaysia.

Malah Sahil Suhaimi pasti sudah biasa berhadapan dengan pemain-pemain Sarawak seperti Ronny Harun, Ramesh Lai, Hairol Mokhtar dan Dzulazlan Ibrahim.

Sarawak yang banyak membariskan pemain muda tempatan pada musim ini kini menduduki kedudukan ke-11 Liga Super. Ia adalah satu percaturan yang berani daripada David Usop dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Sarawak FA mempunyai kumpulan penyokong yang sentiasa setia dalam turun naik pasukan. Kredit: Pemilik Gambar.

Walaupun sering mendapat kecaman, David Usop tidak pernah teragak-agak untuk menurunkan pemain muda tempatan.

Hasilnya, kita boleh melihat aksi yang konsisten daripada pemain muda seperti Abd Rahim Abd Razak, Awang Kamaruddin, Mohd Hafiz, Nur Shamie Iszuan dan Tommy Mawat Bada.

Percaturan David Usop membawa masuk Sahil Suhaimi juga adalah langkah yang bijak. Pada ketinggian 1.63m, pemain ini memiliki teknik yang baik dan lincah dalam gerakan.

Masih terlampau awal untuk membuat spekulasi mengenai keserasian Sahil di Sarawak.

Namun penyokong Bujang Senang pasti teruja untuk melihat bagaimana Sahil membantu bahagian tengah Sarawak yang sering mendapat kritikan pada musim ini.

Kami di Semuanya BOLA mengucapkan selamat maju jaya buat Sahil Suhaimi dan Sarawak FA.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN