Langkah duo penyerang Persebaya Surabaya, David Da Silva dan Makan Konate yang sudah mengucapkan selamat tinggal buat kelab saingan Liga 1 Indonesia itu terus menghangatkan spekulasi melibatkan kedua-dua pemain tersebut dengan kelab Liga Super Malaysia, Terengganu FC (TFC).
Ketidaktentuan berhubung penganjuran liga di negara jiran tersebut menjadi faktor utama kedua-dua pemain itu memilih untuk meninggalkan Indonesia dengan Konate tanpa berselindung mendedahkan beliau mendapat tawaran kelab dari Malaysia.
Perkembangan terbaharu berkenaan masa depan Konate dan Da Silva tersebut telah dilaporkan oleh laman sesawang rasmi kelab yang menamatkan saingan Liga 1 2019 di tangga kedua itu.
Konate juga merupakan satu-satunya pemain import Persebaya yang memilih untuk terus tinggal di Surabaya ketika aksi liga dihentikan susulan serangan wabak COVID-19, ketika tiga lagi rakannya termasuk Da Silva meninggalkan Indonesia.
”Sudah lapan bulan saya di Indonesia. Masih tiada khabar berita tentang pertandingan sampai ke saat ini. Saya dah tak boleh nak menunggu dengan lebih lama lagi.”
”Sejujurnya keputusan ini amat sulit untuk saya lakukan. Saya sudah menjanjikan trofi buat Persebaya tetapi situasi dan keadaan tidak membenarkannya.”
”Saya perlu untuk meneruskan perjalanan [dalam karier bola sepak]. InsyaAllah suatu masa nanti saya akan kembali.”
”Saya ada mendapat tawaran dari beberapa kelab di Malaysia, Thailand dan Arab Saudi. Saya masih belum membuat keputusan. Saya akan berbincang terlebih dahulu dengan ejen saya, Mamadou,” ujar Konate.
Sementara itu, Da Silva juga turut memiliki pendapat yang sama seperti dirasakan oleh rakan sepasukannya itu dan mengakui beliau mendapat tawaran dari kelab Asia Tenggara dan Asia.
”Situasi pada ketika ini memang tidak baik buat saya. Sudah sepuluh bulan saya tidak beraksi. Saya perlu untuk melangkah pergi dan tidak boleh untuk terus menunggu situasi ini.”
”Memang saya ada menerima tawaran. Tetapi saya masih belum memutuskannya. Lihatlah beberapa hari mendatang ini,” tambah Da Silva lagi.
TFC yang tidak menyambung kontrak kesemua pemain importnya bagi menghadapi saingan musim baharu dikaitkan dengan dua pemain terbabit dan Konate bukanlah asing buat penyokong Terengganu kerana beliau pernah beraksi bersama T-Team pada musim 2016 sebelum kembali ke Indonesia untuk bersama Sriwijaya FC.
Pada ketika ini, TFC baharu sahaja mengumumkan kemasukan beberapa pemain tempatan dan masih belum membuat sebarang pengumuman berkenaan kehadiran tonggak import.
Kredit foto: Persebaya Surabaya
Baca artikel lain dari kami mengenai bola sepak Indonesia:
Roberto Carlos Antara Pemohon Jawatan Ketua Jurulatih Bali United Di Liga 1 Indonesia
Indonesia Pertaruhkan Bali United & Persebaya Surabaya Untuk Kejohanan Kelab ASEAN 2020