Sah Mahu Tinggalkan Tottenham, Ke Manakah Hala Tuju Harry Kane Selepas Ini?

Harry Kane Tottenham

Harry Kane dianggap sebagai seorang penyerang ampuh dalam saingan Premier League. Gandingan beliau bersama-sama Son Heung-Min cukup menggerunkan pihak lawan.

Begitu banyak jaringan gol dihasilkan beliau. Malah Kane juga telah diangkat sebagai ketua pasukan England oleh Gareth Southgate.

Namun, apa saja kejuaraan yang dimiliki oleh beliau bersama Tottenham selain kejayaan individu? Tiada. Maka tidak hairanlah pada usia 28 tahun, Kane secara rasmi telah menyatakan niat beliau untuk meninggalkan Tottenham pada jendela perpindahan akan datang sebelum segalanya terlambat.

Dan jika Kane dibenarkan pergi meninggalkan Tottenham, ke manakah hala tuju seterusnya buat pemain ini?

Manchester City

Manchester City pasti menjadi antara kelab pertama yang akan menjadi bualan sekiranya berbicara mengenai hala tuju seterusnya buat Harry Kane. Ada dua sebab utama mengapa City terus dikaitkan dengan penyerang England itu.

Pertama, City sememangnya memerlukan seorang No.9 yang baharu. Pep Guardiola sendiri pasti mahukan pengganti Sergio Aguero yang akan berhijrah pada akhir musim ini, dan posisi penyerang akan menjadi keutamaan mereka pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Tidak ramai pemain penyerang yang mampu mengisi kekosongan yang akan dikosongkan oleh Aguero. Kane pula mempunyai reputasi sebagai penjaring prolifik seperti penyerang Argentina itu seperti mana yang dibuktikan oleh beliau bersama Tottenham sejak beberapa musim lalu.

Erling Haaland dan Lauturo Martinez adalah pilihan lain yang dimiliki oleh Guardiola. Bagaimanapun Kane tidak perlu menyesuaikan diri dengan saingan di Premier League seperti dua pemain ini.

Sebab kedua mengapa Etihad akan menjadi destinasi seterusnya buat Kane ialah kerana kemampuan City menjulang kejuaraan; yang menjadi sebab utama penyerang itu mahu berhijrah.

Real Madrid

Mana-mana pemain berkelas dunia pasti mengimpikan peluang beraksi bersama Real Madrid, dan Kane tidak terkecuali. Ia bukan perkara menghairankan mengapa Kane menjadi antara nama terawal dikaitkan dengan jaguh La Liga itu.

Buat masa ini terlampau banyak spekulasi di Madrid dengan masa depan Zinedine Zidane turut berada di dalam agenda. Kuasa berbelanja Real Madrid juga tidak seperti dahulu di mana mereka mampu membawa masuk siapa sahaja yang mereka mahukan.

Selain masa depan Zidane, Real Madrid turut harus menyelesaikan isu Eden Hazard yang nyata mengecewakan sejak tiba dari Chelsea sebelum memikirkan untuk membawa masuk Kane dari Tottenham.

Pada usia 28 tahun, Real Madrid mungkin mahu pelaburan mereka kepada pemain yang lebih muda seperti Erling Haaland atau Kylian Mbappe.

Barcelona

Daripada lima kelab yang berada di dalam senarai ini, Barcelona adalah kelab yang paling kurang kemungkinan untuk Kane sertai. Jumlah hutang yang luar biasa, dan masalah di dalam dan di luar padang menyebabkan ia hampir mustahil untuk gergasi Catalan itu membawa masuk mana-mana pemain dengan nama besar pada musim panas akan datang.

Di sebalik semua kemelut itu, Barcelona seperti Real Madrid masih melakukan perbincangan dengan ejen Haaland. Jika mereka mampu membawa masuk mana-mana pemain bintang seperti Joan Laporta pernah janjikan, maka Kane adalah calon yang lebih sesuai berbanding Haaland dari segi kos.

Berbanding Kane, Barcelona berkemungkinan besar akan memusatkan kemampuan kewangan mereka untuk mengekalkan Lionel Messi di Nou Camp.

Manchester United

Ole Gunnar Solskjaer buat masa ini dilihat telah mengamalkan perbelanjaan berhemah sejak bergelar pengurus Manchester United. The Red Devils sebelum itu telah berbelanja membuta tuli terutamanya untuk pemain di bahagian serangan. Di bawah era Solskjaer, perbelanjaan lebih berhati-hati dan untuk posisi yang menjadi keutamaan sahaja akan diberi perhatian.

Namun jika benar mereka mahu bersaing untuk kejuaraan pada musim hadapan, maka Solskjaer dan Manchester United tidak dapat mengelak untuk berbelanja besar membawa masuk seorang penyerang yang sudah terbukti keupayaannya seperti Harry Kane.

United pernah mengambil langkah yang sama apabila membawa masuk Romelu Lukaku pada 2017. Membawa masuk Harry Kane dilihat seperti versi upgrade kepada Lukaku – atau tanda kegagalan era Mourinho.

Pilihan lain ialah untuk terus menyandarkan bahagian serangan kepada Edinson Cavani. Tetapi penyerang dari Uruguay itu bukannya semakin muda. Jika United mendapatkan Kane, ia isyarat jelas ‘next year is our year’ dari Manchester United kepada pesaing mereka yang lain.

Paris Saint-Germain

Situasi yang menyelubungi Harry Kane pada jendela perpindahan kali ini dilihat seperti domino effect. Secara tidak langsung masa depan Kane dilihat berkait rapat dengan masa depan Haaland dan Kylian Mbappe. Kedua-dua pemain itu menjadi pilihan pertama mana-mana pasukan kerana usia yang lebih muda.

Mbappe sememangnya dilabel sebagai salah seorang penyerang berbisa pada hari ini. Namun PSG turut perlu berbelanja besar untuk menyambung kontrak beliau yang akan tamat pada 2022. Minat dari Real Madrid untuk pemain itu turut menjadi masalah buat PSG.

Dan sekiranya Mbappe memilih untuk menyertai Real Madrid dalam masa terdekat, kemungkinan untuk Kane menyertai Mauricio Pochettino di Ligue 1 bukan satu angan-angan lagi.

Rumusan

Kelab manakah yang paling sesuai untuk Kane jika beliau dibenarkan meninggalkan Tottenham Hotspur pada jendela perpindahan akan datang.

Tiada keraguan lagi sebab utama Kane mahu meninggalkan Spurs adalah kerana ingin mengejar kejuaraan. Kelima-lima kelab di atas turut akan beraksi di Champions League pada musim hadapan.

Kini terpulang kepada setiap kelab, siapakah yang mampu meyakinkan Kane untuk menyertai mereka.

 

Baca artikel menarik lain mengenai Harry Kane melalui pautan berikut:

Sambung Kontrak Cavani, Isyarat Manchester United Takkan Beli Kane Atau Haaland?

Beli Kane Atau Haaland, Manchester United Akan Kembali Digeruni Di Eropah

Duhai Kane, Tinggalkan Saja Tottenham Itu!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN