Pemain pertahanan Singapura, Safuwan Baharudin telah mengesahkan kepulangan semula beliau ke Selangor selepas meninggalkan Negeri Sembilan.
Safuwan yang menyertai Negeri Sembilan pada awal musim, kembali bersama dengan Selangor untuk menguatkan bahagian pertahanan Gergasi Merah yang dilihat rapuh.
Bercakap kepada media rasmi Selangor, Safuwan mengatakan yang beliau melihat perkembangan hebat Gergasi Merah terutamanya selepas pemain itu meninggalkan mereka.
“Pertama sekali, seronok dapat kembali semula. Saya amat teruja dapat balik kontrak semula di Selangor selepas enam bulan meninggalkan pasukan.
”Buat masa sekarang, bila saya tengok perlawanan-perlawanan Selangor saya rasa wow, pasukan ini semakin hebat dan hebat dan saya cemburu melihat apa yang berlaku sekarang.
Safuwan juga kagum dengan sokongan padu penyokong Selangor yang sentiasa memenuhi Stadium MBPJ setiap kali perlawanan diadakan.
Amatlah besar harapan bagi pemain Singapura ini untuk dirinya diterima semula oleh penyokong Selangor selepas berhijrah seketika ke Negeri Sembilan yang juga adalah musuh Gergasi Merah.
Dalam masa yang sama, Safuwan mengakui yang beliau menolak beberapa tawaran daripada Thailand walaupun ianya hadir dari kelab divisyen 1 negara itu.
Selain itu, terdapat juga tawaran oleh pasukan-pasukan Liga Super yang lain namun tetaplah Selangor di hati Safuwan.
Pemain pertahanan ini juga mengatakan yang nasihat daripada ibu bapanya untuk kekal di Malaysia menjadi punca mengapa pemain ini terus beraksi di Liga Super.