Nama Safuwan Baharudin sebenarnya bukan suatu yang asing lagi dalam dunia bola sepak Malaysia, setelah dirinya telah pun mencipta reputasi cukup baik sejak beberapa musim lalu di atas padang.
Sebut nama Safuwan, semua mengenai sosok pemain yang sangat berdisiplin serta berkebolehan untuk beraksi di pelbagai posisi mengikut percaturan taktikal jurulatih.
Kehebatan Safuwan selaku salah seorang pemain import Selangor juga menjadikan dirinya sentiasa dipuji dalam kalangan peminat yang pastinya sentiasa mengharapkan segala terbaik daripada pemain tersebut.
Namun siapa sangka, momen terindah pemain kebangsaan Singapura ini bersama Selangor direalisasikan pada aksi terbaharu beliau ketika berada dalam saingan separuh akhir kedua Piala FA musim 2024/2025 menentang Terengganu.
Pada aksi terbaharu, Safuwan tampil meledak hatrik buat Selangor dan berjaya memastikan pasukan tersebut mara ke pentas akhir saingan Piala FA 2024/2025.
Apa yang mengujakan, Safuwan ketika itu beraksi selaku pertahanan dan tampil begitu menonjol untuk membantu siri serangan The Red Giants terutama dalam situasi bola mati bagi mengatasi Sang Penyu.
Rekod tersebut sebelum ini pernah dipegang oleh pertahanan Penang iaitu Rafael Vitor yang telah mencipta hatrik pada tahun 2021 ketika pasukan tersebut membenam cabaran Penang dalam aksi Liga Super.
Selebihnya, pemain tersebut menjalankan tugas beliau dengan sangat baik selaku pertahanan utama dan berjaya mencipta kombinasi terbaik bersama rakan sepasukan lain untuk menghalang kemaraan lawan.
Sepanjang aksi berlangsung, pemain import seperti Ismaheel Akinade serta Nurillo Tukhtasinov gagal untuk merajai siri serangan Terengganu apabila mereka mendapat kawalan kemas daripada Safuwan.
Tidak termaktub untuk serangan dan pertahanan, pemain tersebut tampil dengan kerajinan cukup tinggi untuk turut menjadi tenaga tambahan di posisi tengah demi memastikan aliran bola sentiasa lancar buat The Red Giants.
Selaku seorang kapten, Safuwan juga mempamerkan karakter cukup positif untuk memimpin pasukan dalam keadaan baik serta bermotivasi sepanjang aksi berlangsung tanpa ditenggelami oleh tekanan.
Pemain tersebut juga menunjukkan teladan yang bagus buat bintang muda seperti Harith Haiqal di posisi pertahanan untuk menjadikan pemain itu lebih matang pada masa hadapan.
Mara ke final, pastinya ini menjadi salah satu kenangan terindah buat Safuwan dengan moral beliau kini pastinya semakin membuak-buak untuk cuba menghadiahkan piala buat kelab.