Safiq Rahim: Kapten & Legenda Yang Mencipta Nama Bersama JDT & Kini Bersama Melaka Utd

Satu ketika dahulu nama Safiq Rahim pernah dianggap sebagai antara bakat muda yang akan mewarnai kancah saingan Liga Malaysia sebagai pemain tengah berbakat besar. Telahan itu tidak silap sama sekali.

Selepas lebih 10 tahun bergelar pemain bola sepak profesional, Safiq telah merangkul pelbagai kejuaraan domestik dan antarabangsa. Malah tidak keterlaluan jika kita katakan, Safiq Rahim adalah pemain bola sepak negara paling berjaya kerana memiliki koleksi kejuaraan paling lengkap di negara ini.

Permulaan perjalanan

Safiq Rahim dilahirkan pada 5 Julai 1987 dan berasal dari Kuala Selangor.Di peringkat awal penglibatan di dalam bola sepak, cita-cita beliau untuk berkecimpung secara serius mendapat tentangan awal kedua-dua orang tuanya.

Rahim Muhd. Yatim dan Aidah Majid, ibu bapa kepada Safiq bukan mahu menghalang. Namun sepertimana ibu bapa yang lain, siapa yang tidak mahu melihat anak mereka melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti.

Safiq Rahim & Selangor juara Piala Presiden 2008.

Itu sebenarnya perkara biasa dan sering menjadi dilema mana-mana ibu-bapa dan anak muda yang mahu menceburkan diri di dalam bola sepak. Akhirnya Safiq dan kedua-dua orang tuanya bersetuju untuk beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), untuk memastikan perkembangan akademik dan bola sepak mampu dilakukan secara selari.

Bintang muda Merah Kuning

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itulah pegangan yang menjadi pedoman bagi Safiq untuk memilih bola sepak sebagai profesion. Umum maklum akan liku perjalanan pemain bola sepak di Malaysia. Dengan bakat yang dimiliki oleh beliau, Safiq kemudiannya diserap ke skuad remaja Selangor pada tahun 2006.

Safiq Rahim (kiri) ketika bersama skuad Selangor pada tahun 2011.

Pada tahun 2008, Safiq Rahim membantu skuad Piala Presiden Selangor muncul juara. Musim 2009, beliau kemudiannya memilih untuk menyertai KL Plus untuk mendapat ruang membuktikan diri sebelum kembali ke pangkuan Gergasi Merah pada musim berikutnya.

Pada musim pertama kembali menyertai Selangor, Safiq Rahim berjaya membantu Selangor menjulang kejuaraan Liga Super. Itu adalah satu-satunya kejuaraan utama beliau bersama Selangor selain daripada Piala Sumbangsih yang dimenangi pada awal musim yang sama.

 

Pemain ini juga pernah mendapat panggilan untuk menghadiri uji bakat bersama Cardiff City selepas berjaya mencuri tumpuan pencari bakat kelab yang berpengkalan di Wales itu dalam perlawanan persabahabatan Pilihan Malaysia menentang Liverpool.

Bakat terus digilap di JDT

Pada Disember 2012, Safiq mengambil keputusan meninggalkan Selangor untuk menyertai JDT. Malah beliau adalah salah seorang pemain terawal yang dibawa masuk oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam usaha merevolusi kelab selatan tanah air itu.

Ia jelas langkah yang amat positif dan tepat diambil oleh Safiq pada masa itu. Bersama kelab bola sepak di selatan tanah air itu bakat beliau sebagai pemain tengah terus digilap. Daripada seorang pemain tengah menyerang menyerupai box-to-box midfielder, beliau menambahbaik aspek permainan untuk menjadi kompetitif di era bola sepak moden.

Dilantik sebagai kapten pasukan, Safiq Rahim boleh berbangga kerana menjadi kapten pasukan paling berjaya di dalam sejarah bola sepak negeri tersebut. Bagi pemain seperti beliau, ia adalah satu penghormatan. Karakter yang dimiliki beliau melayakkan peranan tersebut diberikan secara merit.

Bersama JDT, Safiq pernah beraksi di bawah kendalian beberapa jurulatih, antaranya Fandi Ahmad, Bojan Hodak, Mario Gomez dan juga Ulisses Morais. Dan bersama setiap pengendali, nama Safiq sentiasa menjadi pilihan utama jurulatih untuk berada di dalam kesebelasan utama. Demikianlah penting dan pengaruh yang dimiliki pemain ini.

Foto: JST

Lima kejuaraan Liga Super, satu trofi Piala FA, satu trofi Piala Malaysia, tiga kejuaraan Piala Sumbangsih, dan yang paling dikenang ialah memimpin JDT muncul juara Piala AFC pada 2015 pasti menjadi kenangan termanis yang sukar beliau lupakan sebagai pemain bola sepak.

Pemain tengah ‘all rounder’

Seperti yang dinyatakan tadi, Safiq Rahim adalah baka pemain tengah menyerang. Peranan asal beliau sejak bersama Selangor ialah sebagai box-to-box midfielder, atau pun dalam istilah taktikal dengan peranan No.6.

Ketika bersama JDT, pemain ini berjaya mempertingkatkan kebolehan dengan peranan berlainan di jentera tengah pasukan. Perkara itu berubah ketika beliau menyertai JDT. Bersama pasukan Harimau Selatan, kebolehan beliau dibangunkan lagi agar lebih versatil di jentera tengah.

MALAYSIA. Johor Bahru: Safiq Rahim of JDT scores his goal during Super League match between JDT and Melaka at Larkin Stadium on April 9, 2017. Photo by Nizam Rahman – www.asiana.my

Ketika di bawah kendalian Bojan Hodak misalnya, Safiq turut beraksi sebagai pemain tengah bertahan, atau dengan peranan No.8. Posisi itu diisi oleh Harris Harun sejak beberapa musim lalu. Sejak daripada itu, Harris diturunkan secara konsisten di posisi tersebut.

Bagaimanapun di bawah kendalian Mario Gomez, Safiq diarahkan bermain lebih ke hadapan. Ketika itulah beliau diberikan peranan sebagai No.10. Dalam beberapa perlawanan kelibat beliau ada kalanya dilihat sebagai penyerang kedua, beraksi di belakang penyerang utama.

Johor Darul Ta’zim player Safiq Rahim in action during 2017 Malaysia FA Cup match against Pahang at Larkin Stadium. Photo by Rizanizam/asiana.my

Safiq menerima baik perubahan taktikal terhadap dirinya yang dibawa oleh Mario Gomez. Malah ketika di bawah kendalian jurulatih dari Argentina itu, Safiq boleh dianggap berada di kemuncak prestasi sepanjang kariernya. Beliau turut konsisten mencatat nama sebagai penjaring atau pencipta jaringan di dalam tempoh itu.

Selain daripada keupayaan dari gerakan set-pieces, salah satu kekuatan Safiq Rahim adalah kemampuan beliau mencipta peluang gol dengan killer pass. Di negara kita, tidak ramai pemain yang memiliki bakat sebegitu.Killer pass bermaksud hantaran yang ‘membelah’ blok dua atau lebih pertahanan. Kerana itu kami berpendapat beliau adalah No.10 moden terbaik yang pernah dihasilkan oleh negara dewasa ini.

Pemain pertama dari Malaysia dan Asia Tenggara yang

Azam Azih di Pahang mungkin pemain paling dekat untuk diperbandingkan dengan Safiq. Tetapi jika perbandingan taktikal dan posisi diambil kira, Azam tetap masih perlu bekerja keras dalam mempertajamkan hantaran dan beraksi di bahagian depan serangan seperi kapten JDT ini.

Signifikan kejuaraan Piala Malaysia 2017

Kita boleh duduk berjam-jam semata-mata untuk berdebat tentang tahap kepentingan saingan Piala Malaysia berbanding pertandingan-pertandingan domestik lain. Bagi sesetengah pihak, Piala Malaysia sekadar pertandingan pelengkap jadual saingan domestik.

Namun bagi yang memahami nilai sentimental dan sejarah bola sepak negara ini, ia lebih dari itu. Piala Malaysia ialah salasilah  bola sepak negara yang pernah memahat nama-nama besar diangap selaku legenda bola sepak negara.

SHAH ALAM 04 NOVEMBER 2017. Pemain Johor, Safiq Rahim dan Jurulatih Johor Datuk Takzim Ulises Morais meraikan kemenangan bersama penyokong setelah JDT menewas Kedah pada perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam. NSTP/ASYRAF HAMZAH

Kerana itu reaksi Safiq Rahim selepas berjaya membantu JDT muncul juara Piala Malaysia pada 2017 boleh difahami. Ia lebih daripada kejuaraan pertama JDT dalam pertandingan itu. Lebih daripada itu, kejuaraan tersebut turut memahat nama Safiq Rahim sebagai salah seorang legenda setaraf nama-nama lain yang terpahat di dalam sejarah bola sepak negara.

Taring Si Harimau Malaya

Di dalam pasukan kebangsaan, Safiq Rahim diibaratkan ‘taring Si Harimau Malaya’. Di bawah kendalian Datuk K. Rajagopal, Safiq Rahim dan rakan-rakan membantu pasukan negara merangkul pingat emas di Sukan SEA 2009.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat emas dalam acara bola sepak ialah pada 1989. Di antara itu, rakyat Malaysia terpaksa menunggu sehingga 20 tahun untuk melihat kilauan pingat emas kembali menyinar. Tidak keterlaluan juga jika katakan skuad Sukan SEA 2009 ini adalah permulaan kepada kebangkitan bola sepak negara yang sudah suram berdekad lamanya.

Bertunjangkan skuad yang hampir sama, Safiq Rahim juga menyinar di dalam pertandingan Piala AFF Suzuki 2010, apabila berjaya membantu pasukan negara muncul juara buat pertama kali dalam kejohanan serantau itu.

Safiq juga pernah mengumumkan persaraan bersama pasukan kebangsaan pada Julai 2016, namun kembali menyarung jersi pasukan negara lebih kurang setahun selepas itu. Ia adalah keputusan kontroversi, dengan kesungguhan beliau bersama skuad negara turut dipersoalkan ramai penyokong pada ketika itu.

Pengiktirafan FIFA

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa kapten JDT dan Harimau Malaya ini pernah mendapat pengiktirafan oleh FIFA mengenai kebolehan menjaringkan gol melalui gerakan set-pieces atau sepakan percuma.

Selepas membantu pasukan negara muncul naib juara Piala AFF pada 2014, FIFA menerbitkan sebuah artikel mengenai kebolehan pemain ini. Dalam artikel tersebut, kepakaran yang dimiliki oleh Safiq dianggap sebagai salah satu aset penting dalam diri pemain.

Kembali ke JDT

Dalam satu temu ramah bersama Kosmo lebih 10 tahun yang lalu, Safiq pernah menyuarakan beliau akan bersara ketika usia mencecah 35 tahun. Ini bermakna beliau masih mempunyai baki setahun tahun lagi untuk memperagakan keringat di atas padang. Tapi siapa tahu beliau mungkin akan meneruskan kerjaya sebagai pemain selepas itu.

“Mungkin saya akan bersara ketika usia 35 tahun tetapi jika saya masih mampu beraksi lagi saya akan kekal,” ujar beliau satu ketika dahulu.

Selepas beberapa musim berkelana ke Melaka United, Safiq akhirnya kembali menyertai JDT pada musim ini. Pada hari ini, Safiq Rahim menyambut hari kelahiran ke-34, dan masih cemerlang bersama JDT.

Kelibat aksi Safiq bersama JDT pada musim ini, khususnya di pertandingan AFC Champions League  mengingatkan kita apa yang skuad Harimau Malaya hilang ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Safiq bukan sahaja pemain yang penuh dengan pengalaman. Tetapi beliau juga memiliki karakter yang mampu mencetuskan kebangkitan rakan sepasukan.

“Jujurnya ia bukan hubungan yang berat sebelah daripada saya. Beliau [Safiq] sentiasa memberikan yang tebaik di atas padang, atau pun mungkin lebih lagi. Seperti seorang anak [melakukan] untuk seorang ayah.” Itu luahan Datuk K. Rajagopal yang pernah bersama-sama pemain ini di dalam pasukan kebangsaan suatu ketika dahulu.

Penutup

Ini kisah Safiq Rahim. Kapten dan legenda yang mengukir nama bersama Harimau Selatan. Anda boleh memilih untuk kagum atau membenci pemain ini. Namun dari perspektif bola sepak, tidak ada yang boleh menafikan Safiq Rahim adalah pemain paling berjaya pada generasi beliau.

Dikenali sebagai pemain yang cepat panas di atas padang, Safiq Rahim sebenarnya ialah seorang jeneral yang mempunyai kekuatan mentaliti untuk memburu kejayaan. Selamat maju jaya Safiq Rahim!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN